Terengganu Percepat Pembinaan 'Breakwater' di Kawasan Kritikal
Penduduk Hulu Dungun Diminta Ambil Langkah Berjaga-jaga
DUNGUN, 4 Januari - Penduduk di beberapa kampung di Hulu Dungun, di sini diminta mengambil langkah berjaga-jaga termasuk patuh kepada arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya diminta berbuat demikian.
Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Minda, Wan Zawawi Wan Ahmad, berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan agar penduduk yang berada di kawasan rendah agar sentiasa bersiap siaga.
"Penduduk sentiasa diberi peringatan melalui masjid, juga melalui sebaran media sosial.
"Sehingga kini setiap kali berlakunya bencana banjir semuanya dapat ditangani dengan baik," ujarnya ketika dihubungi pihak media, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, walaupun jumlah mangsa yang berpindah tidak melibatkan jumlah yang besar namun ramai yang terkesan.
"Ini kerana sejumlah besar penduduk di sini terkepung dengan banjir, keadaan tersebut mengakibatkan kesukaran untuk pergerakkan keluar masuk disebabkan jalan kampung serta jalan utama untuk keluar ke bandar ditenggelami air.
"Dari segi bantuan sepanjang terlibat dengan banjir adalah mencukupi dimana kita mendapat bekalan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO).
"Sedikit sebanyak ianya sangat membantu kerana apabila berhadapan dengan situasi seperti ini ianya sangat memberi kesan kepada penduduk yang rata-ratanya terlibat dengan pertanian," ujarnya.
Untuk rekod bermula semalam tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor dan juga Kampung Minda dengan menempatkan 60 buah keluarga iaitu seramai 195 mangsa banjir.