Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Penerbangan Tempahan Terus Dari China Rancakkan Pelancongan Terengganu
Ariffin Deraman. |
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Penerbangan tempahan terus dari Fuzhou, China ke Terengganu bakal merancakkan industri pelancongan di negeri itu selepas merekodkan sejumlah 4.79 juta pelancong tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penerbangan julung kalinya itu akan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada 26 Ogos ini pada 11 pagi dengan membawa seramai 166 pelancong dan ahli perniagaan dari negara tembok besar itu.
Jelasnya, penerbangan berkenaan diuruskan oleh sebuah syarikat swasta iaitu VUB Holdings Sdn Bhd dan akan berada di Terengganu selama lima hari empat malam.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan usaha syarikat berkenaan dalam membantu merealisasikan hasrat dan visi kerajaan negeri sekali gus menjadikan LTSM sebagai hab penerbangan terus dari luar negara terutamanya dari negara China.
“Ini merupakan pembuka jalan dan selepas ini, banyak lagi penerbangan tempahan yang kita rancang dari China ke Terengganu dalam merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.
“Ia juga selaras dengan penganjuran Visit Malaysia 2020 dan kempen Beautiful Terengganu yang sedang kita laksanakan,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kumpulan pelancong dan ahli perniagaan berkenaan akan dibawa melawat Tasik Kenyir, Pulau Redang dan kawasan sekitar Kuala Terengganu serta dijangka pulang melalui penerbangan tempahan terus ke Fuzhou, China pada 30 Ogos depan.
Kerajaan negeri dan syarikat berkenaan juga mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi dialog usahawan bersama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
“Kita harapkan dengan adanya kerjasama antara kerajaan dan pemain-pemain industri ini, kita membuka ruang untuk mereka lebih mengenali tempat-tempat pelancongan yang lain seperti Tasik Kenyir dan sekitar Kuala Terengganu,” katanya.
Jelas Ariffin lagi, syarikat VUB Holdings Sdn Bhd dan beberapa pemain industri lain juga sedang merangka rancangan untuk membawa lebih ramai pelancong dari Jepun, Korea serta China ke Terengganu dalam fasa berikutnya.