lightning-solid
Berita :
Peneroka Sangkal Fitnah Dianiaya Dalam Tuntutan Terengganu ke Atas FELDA
Peneroka Sangkal Fitnah Dianiaya Dalam Tuntutan Terengganu ke Atas FELDA
Husaif Mamat
5 jam yang lepas
280

SETIU, 16 Disember – Peneroka dan generasi peneroka FELDA Selasih tampil menafikan dakwaan kononnya golongan mereka dianiaya atau terjejas susulan tindakan Kerajaan Negeri Terengganu menuntut hak negeri ke atas tanah yang digunakan oleh FELDA–FGV. 

Sebaliknya mereka menegaskan bahawa isu berkenaan tidak melibatkan tanah milik peneroka.

Peneroka FELDA Selasih Blok Enam, Mohd Azizi Che Ibrahim, 68, berkata tuntutan Kerajaan Negeri tertumpu kepada penggunaan tanah kerajaan oleh FGV bagi tujuan ladang komersial tanpa bayaran sewajarnya dan ia bukannya ke atas tanah peneroka yang memiliki geran sah.

Menurutnya, peneroka telah memiliki hak milik tanah masing-masing serta membayar cukai tanah setiap tahun, justeru tidak terkait dengan rundingan yang berlaku antara Kerajaan Negeri dan FGV.

“Isu ini bukan isu peneroka. Peneroka ada geran, ada hak milik dan bayar hasil setiap tahun. Yang dituntut ialah ladang komersial FGV atas tanah Kerajaan Negeri. Itu dua perkara yang berbeza,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman. 

IMG-20251215-WA0146.jpg 92.11 KB

Dia menjelaskan rundingan antara Kerajaan Negeri dan pihak berkaitan telah bermula sejak 2018, namun FELDA tidak memberi perhatian sewajarnya sehingga isu itu terpaksa dibawa ke peringkat lebih tegas selepas tempoh rundingan diberikan.

Katanya, tindakan Kerajaan Negeri adalah berasas dan wajar kerana penggunaan tanah tanpa bayaran adalah tidak adil.

“Kalau kita sewa rumah orang, kita kena bayar sewa. Jadi kalau guna tanah Kerajaan Negeri, bayarlah. Ini soal hak, bukan soal politik,” katanya.

Mohd Azizi turut menafikan dakwaan bahawa peneroka dihalau atau kehilangan punca pendapatan akibat isu berkenaan, menyifatkannya sebagai tidak berasas.

“Tak ada kesan kepada peneroka. Tanah peneroka tak disentuh langsung. Yang terlibat hanyalah ladang komersial,” katanya.

Sementara itu, wakil generasi baharu FELDA Selasih, Abdul Azhar Abdul Rahim, 42, berkata FGV tidak tertakluk di bawah Akta Penempatan Berkelompok (GSA) kerana akta tersebut hanya terpakai kepada peneroka, bukan syarikat ladang komersial.

Menurutnya, FGV tidak mempunyai peneroka, sebaliknya hanya pekerja dan oleh itu dakwaan peneroka dihalau atau terkesan adalah tidak benar.

“FGV tak ada peneroka. Peneroka hanya FELDA. Jadi isu ini langsung tak melibatkan peneroka,” katanya.

Dia berkata tempoh rundingan yang panjang telah diberikan dan sekiranya syarat-syarat tidak dipatuhi, Kerajaan Negeri mempunyai asas dari segi undang-undang untuk menuntut semula hak ke atas tanah berkenaan.
IMG-20251215-WA0147.jpg 530.12 KB


Katanya, generasi baharu peneroka menyokong tindakan Kerajaan Negeri kerana hasil daripada tuntutan tersebut boleh menjadi sumber pendapatan negeri bagi memenuhi keperluan rakyat.

“Kami sokong tindakan Kerajaan Negeri tuntut hak. Ini hak Kerajaan Negeri di bawah perlembagaan dan undang-undang tanah,” katanya.

Kedua-dua mereka menegaskan isu tersebut tidak wajar dipolitikkan atau diputar belit oleh orang politik dan media sosial 'hantu' sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan peneroka, sebaliknya perlu difahami berdasarkan fakta sebenar.

Tuntutan Kerajaan Negeri Terengganu ke atas tanah yang digunakan oleh FELDA–FGV ketika ini masih dalam proses rundingan dengan pihak berkaitan di peringkat Persekutuan.


Tag :

Artikel Berkaitan