Penginapan Hotel Terengganu Ketiga Tertinggi
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober – Terengganu sekali lagi menjadi di antara destinasi pelancongan pilihan rakyat Malaysia selepas Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengumumkan peratus penginapan di hotel negeri ini adalah ketiga tertinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, sehingga bulan Ogos Terengganu berada di tempat ketiga selepas Pahang dan Perak.
"Alhamdullilah, walaupun pada Jun, Terengganu menduduki tangga ketiga manakala Julai tangga kedua, tetapi kita masih diantara ketiga tertinggi daripada segi peratusan penginapan pengunjung, berbeza dengan tahun sebelumnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan lawatan kerja menjejaki lokasi-lokasi bersejarah ulama Islam yang terdapat di sekitar Sungai Terengganu dan Sungai Nerus, semalam.
Mengulas lanjut tentang kesan gelombang ketiga COVID-19 kepada sektor pelancongan negeri, Ariffin berkata, penyusutan ini sudah dijangka dengan seluruh negara merasa kesannya.
"Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri pantai barat, anggaran penurunan adalah 20 peratus kerana pelancong barat menarik balik tempahan penginapan dan tidak boleh keluar berkunjung. Kebetulan juga musim monsun di pulau-pulau yang turut menyumbang kepada penurunan.
"Walaubagaimanapun, masih ada lagi pengunjung yang datang seperti di Taman Tamadun Islam dalam jumlah kurang separuh daripada jumlah bulan lalu.
"Perbincangan berterusan dengan penggiat industri pelancongan dan agensi bukan kerajaan (NGO) sentiasa diadakan dari masa ke semasa dalam menghadapi gelombang ketiga ini. Harapan tahun depan supaya keadaan akan reda, industri pelancongan Terengganu akan kembali meriah seperti bulan-bulan lepas," ujarnya lagi.