Pengisian Islamik Warnai Sambutan Tahun Baru Di Terengganu


KUALA NERUS, 2 Januari - Ambang Tahun Baharu 2019 di Terengganu diteruskan dengan resam yang sama seperti tahun lalu melalui pelbagai acara berbentuk keagamaan sebelum dan selepas detik 12 tengah malam.

Sambutan yang bermula kira-kira pukul 6.30 petang di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak di sini dimulakan dengan solat Maghrib beramai-ramai di samping kuliah yang disampaikan oleh Mufti Terengganu, Datuk Dr. Zulkifly Muda dan kemudian jemaah yang hadir menunaikan solat Isyak serta hajat.

Solat hajat bagi sambutan ambang tahun baharu itu diimamkan, Imam Besar Terengganu, Mukhtar Salleh.


Hadirin kemudian berpeluang menyaksikan persembahan Nasyid Qasidah oleh Kumpulan Soutul Muhibbin Madrasah Al-Muhajirin Bukit Jong sebelum diteruskan dengan acara Terengganu Berselawat bersama Kumpulan Hijjaz dan Hafiz Hamidun di samping Bicara Santai yang dikendalikan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus.


Acara diteruskan dengan ucapan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan sebaik tiba detik peralihan tahun sebentar lagi, hadirin termasuk Setiausaha Kerajaan negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan barisan Exco kerajaan negeri akan memulakan bacaan zikir Asmaul Husna beramai-ramai.

Terdahulu, acara ambang tahun baru yang diadakan sepanjang hari ini dimulakan dengan program kayuhan yang disertai Ahmad Samsuri dan barisan Exco kerajaan negeri di Dataran Batu Burok melalui Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Pasar Besar Kedai Payang ke Wisma Darul Iman.

Ia kemudian diteruskan pada pukul 5 petang menerusi Program Bersama Huffaz Cilik di Stadium Tertutup Gong Badak.

SUMBER: UTUSAN ONLINE


Tag: