MARANG, 10 Ogos - Calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan pada Pilihan Raya Umum DUN ke-15 , Sulaiman Sulong menerima respon yang amat baik daripada para pengundi sepanjang tempoh kempen.
Ujar beliau, faktor itu memberi peluang yang besar kepada PAS untuk terus mengekalkan kemenangan di DUN terbabit.
“Kami melihat respons yang baik daripada para pengundi. Insya-Allah mereka terus memberikan peluang PAS untuk mewakili mereka di DUN ini dan juga seluruh Terengganu.
“Kelmarin kami juga menyantuni 353 pengundi awal di Pangkalan Unit No.6, Pasukan Simpanan Persekutuan, Polis Diraja Malaysia, Wakaf Tapai, sambutan daripada mereka terhadap kita sangat baik,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Jelas Sulaiman, dalam tempoh beberapa hari lagi berkempen, pihaknya telah menyusun gerak kerja bertemu dengan para pengundi di kawasan DUN Pengkalan Berangan.
“Alhamdulillah, kami PAS Pengkalan Berangan telah menyusun gerak kerja ini dari pagi, petang hingga malam untuk bertemu dengan pengundi di sini.
“Kami merancakkan lagi dari sudut gerak kerja, bertemu dengan pengundi di semua tempat seperti pasar, kedai kedai dan sebagainya, yang dibantu dari kawasan-kawasan lain,” katanya.
Untuk rekod, DUN Pengkalan Berangan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Sulaiman dengan Nik Dir Nik Wan Ku.
Sebelum ini, Nik Dir adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Ru Rendang pada PRU Ke-14, namun tewas kepada calon PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Kini Nik Dir selaku Ketua UMNO Bahagian Marang mencuba nasib di Pengkalan Berangan.