Pengunjung Luar Puji Jom Heboh Terengganu Berbeza

KUALA NERUS, 4 Ogos – Program Jom Heboh 2024 di Terengganu yang diadakan bermula 1 hingga 3 Ogos itu menerima pujian daripada orang ramai termasuk pengunjung luar atas kejayaannya dalam mematuhi aspek syariah dan berbeza dengan negeri lain.

Rata-rata pengunjung luar yang ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman teruja dengan penganjuran Jom Heboh 2024 yang teratur dan perhatian terhadap setiap aspek, termasuk pengasingan kawasan untuk keluarga dan pengunjung individu, serta penekanan terhadap norma-norma sosial dan keagamaan.

Ramlah Ishak, 52, dari Kedah, meluahkan rasa puas hati dengan penganjuran Jom Heboh Terengganu kerana benar-benar mempamerkan budaya dan keunikan Terengganu.

"Saya juga setuju dengan keputusan kerajaan Terengganu yang menetapkan semua artis dan staf program perlu memakai tudung, kerana ini menunjukkan penghormatan terhadap nilai dan norma tempatan.

“Perasaan saya sangat teruja dengan pengurusan acara yang sangat baik dan suasana yang meriah,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari kedua penganjuran Jom Heboh 2024 bertempat di Perkarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini malam semalam.

Sementara itu, Yusniza Mat Rozi, 41, dari Kuala Lumpur, turut menyatakan penyertaan dalam program tersebut merupakan satu pengalaman yang luar biasa.

“Aktiviti yang disediakan sangat pelbagai dan sesuai untuk seluruh keluarga.

“Saya bersetuju melihat bagaimana penganjur memastikan setiap aspek acara ini memenuhi standard yang tinggi.

"Di samping, penganjur juga mengajak orang ramai untuk menghormati waktu sembahyang. Ini menunjukkan komitmen mereka terhadap sensitiviti budaya dan agama,” ujarnya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata penganjur berikrar untuk patuh dengan semua tatacara penganjuran hiburan di Terengganu termasuk mengenai pengasingan kawasan lelaki dan perempuan serta keluarga semasa acara pentas.

Katanya, pengasingan itu bertujuan menjaga privasi dan mematuhi adab Islam serta tidak melanggar kesalahan jenayah syariah di negeri berkenaan.

Jelasnya lagi, Kerajaan negeri ingin memastikan semua pengunjung dapat menikmati persembahan dengan penuh keselesaan, tanpa sebarang ketidakselesaan atau gangguan.


Tag: