Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Pengusaha Pelancongan Pulau Redang Patuh SOP
KUALA NERUS, 18 Ogos - Para pengusaha pelancongan di Pulau Redang menyambut baik seruan Tourism Malaysia Wilayah Timur untuk meningkatkan kepekaan dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pengurus Besar Sari Pacifica Hotel Resort & Spa, Ganny Del Rahim memaklumkan pihaknya telah mengetatkan prosedur sebagaimana ditetapkan kerajaan seawal pengunjung tiba di Jeti Merang, Setiu lagi.
"Kami melaksanakan SOP seperti proses pemeriksaan suhu, maklumat diri dan daftar masuk melalui MySejahtera serta memberikan nasihat kepada pengunjung bahawa mereka perlu mematuhi SOP yang ditetapkan. Ada dikalangan pengunjung yang mungkin kepenatan jadi, kadang-kadang berlaku sedikit gangguan emosi di mana mereka tidak mematuhi peraturan.
"Oleh itu, pihak hotel ada membuat sedikit kaunseling dua hala untuk memujuk mereka mematuhi arahan. Jika tidak kita tidak dapat memenuhi tempahan mereka di sini kerana kita mahu mereka patuh dan dapat bercuti dengan gembira," katanya.
Tambahnya, pihak hotel juga turut menyediakan pelitup muka tambahan di setiap bilik dan sentiasa melakukan pemantauan supaya kakitangan bersedia menangani masalah ini.
Bagi pengurus Redang Pelangi Resort, Teng Thing Thing pula, pengurusan resortnya mengambil keputusan mengehadkan premisnya kepada pelanggan 'in-house' sahaja.
"Ramai yang datang dan kita mengutamakan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal sepanjang aktiviti di sini," katanya.
Terdahulu, pemantauan telah dilakukan pihak Tourism Malaysia Wilayah Timur bersama Pusat Informasi Pelancongan (TIC) Kuala Terengganu dan Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia Kuala Terengganu ke Pulau Redang, Isnin lalu mendapati rata-rata pengusaha pelancongan di pusat peranginan terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).