Pengusaha Pelancongan Tidak Patuh SOP Wajar Dikenakan Tindakan

KUALA TERENGGANU, 16 September- Pengusaha-pengusaha pelancongan yang mengambil kesempatan dengan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajar dikenakan tindakan tegas.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin menyatakan, satu tindakan tegas memang perlu diambil untuk membendung kegiatan seperti ini bagi mengelakkan sebarang masalah apabila berlaku kejadian tidak diingini.

"Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini jumlah kedatangan pelancongan ke pulau-pulau amat memberangsangkan. Ini mungkin kerana ramai yang menggunakan peluang menghabiskan cuti yang ada dan ia perkembangan yang amat kami alu-alukan.

"Jadi, kami amat berharap semua pemain industri pelancongan dapat menjalankan peranan masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab untuk sama-sama memastikan penularan pandemik ini dapat dibendung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Promosi Menyemarakkan Pelancongan Domestik Pantai Timur di Pulau Lang Tengah bersama media, baru-baru ini.

Tambahnya, perkembangan positif di pusat-pusat pelancongan menunjukkan menunjukkan rakyat Malaysia sanggup untuk membantu negara dalam suasana yang agak terkesan ketika ini untuk bersama-sama memulihkan ekonomi negara.

"Jadi, kita amat berharap pengusaha pelancongan yang masih belum memiliki lesen supaya mendaftar syarikat mereka dengan segera. Ini untuk menjaga nama baik Malaysia dan pada masa sama, kita berharap pengusaha pelancongan tidak disalahkan serta pelanggan akan dilindungi insuran jika berlaku kemalangan atau kejadian tidqak diingini," katanya.

Jelas Hafiz, para pelancong tidak berkira untuk membayar lebih sekiranya kualiti yang ditawarkan sama atau lebih dari jumlah yang dibayar.

"Harga tidak memainkan peranan utama, yang penting kita jaga kualiti perkhidmatan yang ditawarkan. Kami harap apabila sempadan negara dibuka nanti, Malaysia akan terus menjadi pilihan para pelancong dari seluruh dunia," katanya.

 

 

 

 


Tag: