Tour Gateh D'Tranung Teruskan Aksi Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kejohanan berbasikal terbesar negeri Terengganu, Tour Gateh D'Tranung akan diteruskan lagi pada tahun hadapan dalam usaha mempromosi negeri Terengganu sebagai destinasi pelancongan sukan bertaraf antarabangsa.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selain itu kerajaan negeri juga akan kembali menganjurkan Sultan Mahmud Bridge International Run yang turut melibatkan penyertaan dari dalam dan luar negara.
"Kerajaan negeri juga akan memantapkan pelaksanaan Garis Panduan Hiburan, Persembahan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu dengan nilai perundangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambahnya, penganjuran Karnival Pantai Terengganu yang mempamerkan budaya dan warisan negeri akan diperhebat dengan turut menonjolkan keunikan beberapa negara serantau bagi menarik lebih ramai pengunjung terutamanya pelancong asing.
Dalam pada itu, kerajaan negeri akan turut melaksanakan kerja-kerja pembinaan bangunan serbaguna untuk 'indoor games' seperti skuasy, badminton serta kemudahan berkaitan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu.