Penternak, Nelayan Dan Petani Perlu Waspada

KUALA TERENGGANU, 4 November – Penternak, nelayan dan petani di seluruh negeri ini dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dalam menguruskan sektor masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, walaupun ketiga-ketiga sektor berkenaan berjalan sepanjang tahun tanpa musim namun langkah berjaga-jaga tetap perlu diambil. 

"Contoh penternakan akuakultur seperti ikan kerapu yang sensitif dengan perubahan kadar kemasinan air. Penternak perlu pastikan terutamanya yang berada di laguna, kawasan kuala, muara yang biasanya berlaku penurunan kadar kemasinan air dengan mendadak apabila air dari hulu turun. 

"Mereka perlu memastikan bahawa apa yang diternak itu dituai sebelum daripada tiba musim tengkujuh sebab bila kadar kemasinan air menurun, ikan yang sensitif akan mati.

"Untuk padi, sekarang ini tengah rancak dituai. Apabila hujan turun, memang kerja-kerja menuai akan ditingkatkan lagi dengan sedaya upaya supaya boleh disiapkan dalam tempoh terdekat. Kita berharap tidak ada padi kita yang rosak disebabkan banjir," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Wisma Darul Iman, semalam. 

Menurutnya lagi, isu kekurangan kilang padi tahun lalu telah pun diselesaikan dengan jaya.

"Walaupun berlaku pecutan diperingkat tuaian, Terengganu sudah mampu menampung dan memproses sendiri.

"Jadi sebanyak manapun padi dituai di Terengganu khususnya di kawasan jelapang padi Besut dan IADA Ketara, ia mampu ditampung untuk diproses oleh kilang-kilang kita," jelasnya. 

Sementara itu, pihakya telah memohon kepada pihak kerajaan negeri supaya peruntukan tabung bencana pertanian negeri sebanyak RM5000,000 ditingkatkan pada tahun depan.

"Sektor pertanian sangat terdedah dengan bencana sebab ia berada di lapangan terbuka samaada pertanian, penternakan dan akuakultur. 

"Kita mohon supaya dipertingkatkan lagi dengan angka yang munasabah dan mengharapkan di ucapan bajet pada akhir November nanti Menteri Besar akan mengumumkan satu berita gembira>" tambah beliau.