Jalur Gemilang
Berita :
Penyu Belimbing Kembali Bertelur, Rantau Abang Terus Jadi Pilihan
Penyu Belimbing Kembali Bertelur, Rantau Abang Terus Jadi Pilihan
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
5 jam yang lepas
33

KEMAMAN, 22 September – Penyu belimbing sekali lagi direkodkan mendarat untuk bertelur di sekitar Pantai Rantau Abang dan Kuala Abang, sekali gus menjadi pendaratan kali ketiga bagi spesies berkenaan pada musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Dato’ Razali Idris berkata, kejadian tersebut merupakan satu perkembangan yang amat bermakna dalam usaha memelihara khazanah marin serta memastikan Rantau Abang terus menjadi habitat persinggahan penyu belimbing.

“Penyu belimbing ini kembali lagi untuk kali ketiga dan yang menariknya, orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri detik istimewa tersebut sehingga penyu berkenaan kembali semula ke laut.

“Sudah lama kita tidak merasai pengalaman seperti ini dan kali terakhir orang ramai berpeluang menyaksikan detik seumpama itu adalah sekitar 2017,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut beliau, penyu berkenaan naik ke pantai sekitar jam 2.10 pagi sebelum bertelur kira-kira jam 3.30 pagi dengan menghasilkan sebanyak 70 biji telur. Telur tersebut kemudiannya dibawa ke Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang untuk proses pengeraman, manakala penyu berkenaan kembali ke laut sekitar jam 5.25 pagi.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan pantai, mengurangkan gangguan cahaya dan bunyi serta tidak menyentuh atau mengganggu penyu ketika naik bertelur.

“Penyu ini adalah warisan kita dan Rantau Abang ialah sebahagian daripada sejarahnya. Kalau kita jaga hari ini, Insya-Allah anak cucu kita masih boleh menyaksikan detik yang sama pada masa hadapan,” katanya.

Razali berharap usaha pemuliharaan yang dilaksanakan secara berterusan dapat memastikan Rantau Abang kekal sebagai lokasi penting bagi pendaratan penyu serta terus menjadi antara tarikan ekopelancongan utama Terengganu menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan