Penduduk setempat membersihkan kawasan sekitar untuk memastikan tiada tempat bertakung yang menjadi punca pembiakan aedes. |
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat berkata, beliau mengharapkan program seumpama ini diteruskan pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita, mengulas tentang Program Gotong Royong Gempur Aedes anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Dato' dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Polis Diraja Malaysia Kemaman di Jalan Dato' (25 September).
Sementara itu, Ahli MPKK Jalan Dato', Razeman Abdul Aziz mengajak penduduk tempatan bersama-sama menjaga pesekitaran perumahan masing-masing.
Katanya, program ini bertujuan untuk menunjukkan dan membuktikan bahawa usaha yang kecil sebenarnya boleh membawa perubahan yang besar dalam membantu untuk membasmi dan mengurangkan penyakit ini.
"Semua lapisan masyarakat boleh menyumbang kisah, pengalaman dan cara mereka membanteras dan menuju ke arah gaya hidup sihat tanpa denggi pada hari ini," ujarnya.
Program ini telah mendapat kerjasama yang baik dari penduduk setempat yang bersama-sama menjayakan aktiviti gotong royong ini.
Antara kawasan yang menjadi tumpuan adalah kawasan longkang tersumbat dan kawasan pembuangan sampah di sekitar Jalan Dato'.