KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Sambutan Hari Kebangsaan ke- 66 Peringkat Negeri Terengganu disambut meriah dengan pelbagai acara dan pertunjukan yang memukau rakyat di sini.
Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Sambutan Hari Kebangsaan dan Perarakan Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Terengganu.
Turut mengiringi baginda, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Seri Utama Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri To' Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Perarakan Kemerdekaan bermula di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah pada jam 7.45 pagi dan berakhir di Dataran Shahbandar pada jam 11.00 pagi.
Seawal 6.30 pagi orang ramai mula berkumpul di sepanjang jalan untuk melihat sendiri perarakan semua 109 kontinjen yang terlibat dengan sambutan meriah diberi kepada pasukan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ramai yang datang dengan membawa bayi dan anak kecil, malah suasana semakin meriah dengan pelbagai busana menarik berkonsepkan Jalur Gemilang serta mengibarkan bendera Malaysia dengan penuh semangat.
Dengan tema Malaysia Madani, Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, para peserta bersemangat menyertai kawat perbarisan pasukan masing-masing sehingga selesai.
Sejak awal pagi kontinjen perarakan sudah mula memenuhi ruang stadium mengikut Jabatan dan kategori yang ditetapkan oleh penganjur.
Pasukan perarakan siap mengambil tempat masing-masing di dalam stadium pada jam 7.15 pagi.
Acara bermula dengan penyerahan Bendera Jalur Gemilang oleh Menteri Besar Ahmad Samsuri kepada Tentera Laut Diraja Malaysia untuk dinaikkan.
Seterusnya, acara nyanyian lagu ‘NegaraKu’ secara beramai-ramai, diiringi dengan lagu negeri, ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’.
Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Ustaz Mohd Faizul Mohd Kesah memimpin bacaan Surah Al-Fatihah dan doa untuk disedekahkan kepada ruh para pejuang kemerdekaan negara.
Sejurus itu, Ahmad Samsuri menyampaikan Perutusan Hari Kebangsaan yang menegaskan bahawa jangan ada antara rakyat Malaysia berwajah melayu tapi berhati penjajah.
“Bicara lidah loghatnya Terengganu namun bahasanya menjulang naratif penjajah.
“Kita punya jati diri sendiri yang terakam kukuh dalam sejarah panjang bangsa ini,” ujarnya.
Selepas itu, Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah bergema dengan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tiga kali menandakan kerajaan dan rakyat bersatu hati serta berhasrat mengisi kemerdekaan berpaksikan Al-Quran dan Sunnah.
Seterusnya, Ahmad Samsuri dan isteri beredar dari majlis dan perarakan bermula dari stadium itu menuju Dataran Shahbandar untuk acara terakhir.
Kira-kira 3,949 peserta dari 109 Kontinjen pelbagai kategori menyertai perarakan yang penuh warna warni dengan iringan cuaca yang agak baik.
Perbarisan lebih empat kilometer itu bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah melalui Jalan Sultan Omar ke Wisma TNB, Jalan Engku Sar, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Kolam, Jalan Sultan Zainal Abidin dan berakhir di Dataran Shahbandar.