• 21 Sept 2024 | 17 Rabiul Awal 1446

Perarakan Maulidur Rasul 2024: TDM Dinobatkan Juara Kategori NGO

KUALA TERENGGANU,20 September -  Pasukan TDM Berhad muncul johan acara Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M Peringkat Negeri, bagi kategori Syarikat Swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin meluahkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan pasukannya meraih anugerah tersebut walaupun ia penyertaan pertama mereka, setelah latihan intensif dijalankan selama sembilan hari terakhir sebelum pertandingan.

“Kejayaan ini merupakan penghormatan besar buat Kumpulan TDM. Ia bukan sahaja mencerminkan pencapaian syarikat, tetapi juga komitmen kami untuk terus menyokong dan menyemarakkan program-program yang memupuk perpaduan masyarakat. 

“Penyertaan ini selari dengan nilai-nilai teras TDM dalam menyumbang kepada pembangunan komuniti dan memperkukuh semangat keagamaan di Negeri Terengganu.

"Pada masa yang sama, ia juga merupakan usaha kami untuk menyatukan semangat perpaduan serta mempereratkan hubungan antara kakitangan TDM,” katanya.

Perarakan bermula jam 8 pagi diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, merangkap Pengerusi TDM bersama barisan-barisan Exco negeri, pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan.

Perarakan bermula dari padang bola sintetik di Kampung Tok Jiring ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, sejauh kira-kira 4 kilometer.

Seramai 1,888 peserta membabitkan 59 kontinjen dan lima kategori dipertandingkan iaitu Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri, Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan, Pasukan Sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi, Syarikat-syarikat Swasta serta NGO dan JPKK.

Majlis Perasmian Sambutan diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak dan disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

​​​​