Peratusan Keluar Mengundi PRK Kemaman Dijangka Tidak Lebih 80 Peratus

KUALA TERENGGANU, 28 November- Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Sabtu ini dijangka tidak melebihi 80 peratus. 

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Dato' Razali Idris berkata, jumlah itu dilihat tidak banyak berbeza berbanding peratusan keluar mengundi yang direkodkan di kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. 

"Saya jangka peratusan pengundi keluar mengundi tidak berubah tapi tidak lebih 80 peratus. Kita jangka ia kurang 80 peratus tetapi undian kita insya-Allah akan kekal, cuma kita nak pastikan pengundi yang tinggal di luar Parlimen Kemaman pulang mengundi. 

"Kita sedang berusaha untuk pastikan mereka balik dan kita ramal berlaku pertambahan undian sekali gus mencapai sasaran kita majoriti 30,000, "katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut Razali, jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) telah bersiap siaga dengan semua kemungkinan yang akan berlaku disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu kerana Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda Terengganu ketika ini. 

"Kita doakan agar keadaan cuaca pada hari mengundi baik dan tidak hujan. Kalau hujan kita bersedia dengan pengangkutan jentera kita, kita telah kenalpasti mana-man pengundi yang terkesan dengan banjir. 

"Persiapan di PPS (pusat pemindahan sementara) pun begitu hebat dan memuaskan. Saya telah melihat keseluruhan (persialan) terutama di DUN (Dewan Undangan Negeri) saya (DUN Kijal) semua PPS bersiap siaga dan jentera kita pun dah siap sedia untuk mengangkut mangsa-mangsa banjir yang juga pemilih, "katanya. 

PRK Kemaman menyaksikan Pas mempertaruhkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu untuk menentang calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.