KUALA TERENGGANU, 30 Oktober – Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia baru-baru ini antara lain bertujuan untuk memeterai perjanjian perdagangan dan pelaburan melibatkan sektor unsur nadir bumi (REE) yang kini menjadi tumpuan global, namun timbul persoalan sama ada perjanjian tersebut benar-benar menguntungkan Malaysia atau hanya menguntungkan AS.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata AS kini amat memerlukan pelaburan baharu berikutan krisis kewangan dalaman, kadar hutang yang tinggi serta tekanan inflasi yang berpanjangan.
Dalam masa sama katanya, sekatan eksport REE oleh China turut memberi kesan besar kepada industri teknologi dan ketenteraan AS yang bergantung kepada sumber tersebut.
“Umum mengetahui, Malaysia telah memeterai perjanjian perdagangan dan pelaburan REE dengan AS sempena kehadiran Donald Trump di Kuala Lumpur.
“Namun, adakah perjanjian tersebut benar-benar menguntungkan negara kita atau sekadar memberi kelebihan kepada AS yang sedang bergelut menyelamatkan ekonominya?,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Menurut beliau, tiada salahnya Malaysia menjalin kerjasama dagang dengan mana-mana negara, termasuk AS, asalkan syaratnya adil, saksama dan memberi manfaat kepada negara.
“Jika perjanjian itu dilihat boleh merugikan negara atau mengeksploitasi hasil bumi kita, maka wajar ia dikaji semula dengan teliti, bahkan ditolak sekiranya tidak membawa pulangan yang munasabah,” tegasnya.
Dr. Khalil menegaskan, sebarang usaha memperkukuh ekonomi dan mempelbagaikan hasil negara perlu dilakukan secara bertanggungjawab, berteraskan ketelusan dan kepentingan rakyat.
“Perjanjian yang adil dan saksama mencerminkan kedaulatan serta integriti negara di mata dunia.
Namun jika dilakukan tanpa penelitian dan hanya demi publisiti atau populariti semata-mata tanpa mengambil kira pulangan sebenar, ia mencerminkan kegagalan dan kerapuhan kepimpinan.
“Bak kata pepatah, menang sorak kampung tergadai,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyifatkan kehadiran Trump ke Malaysia seolah-olah mengesahkan ramalan pakar geopolitik bahawa pengaruh global AS kini semakin merosot.
“Negara itu kini berhadapan dengan krisis ekonomi yang kian parah selain peperangan dagangan yang dilancarkan Trump terhadap pelbagai negara, khususnya China, yang semakin hampir memintas AS sebagai kuasa ekonomi dan teknologi utama dunia,” katanya.
Tambah beliau, jenayah perang dan dasar hegemoni AS yang selama ini menindas banyak negara lain menjadi sebab utama mengapa kuasa besar itu kini berada di ambang kejatuhan pengaruhnya di peringkat global.