KUALA LUMPUR, 2 Mac – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mempersoalkan rasional cadangan menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun dalam Rang Undang-Undang pindaan Perlembagaan yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat.
Ketika mengambil bahagian dalam perbahasan, beliau menegaskan bahawa penetapan had masa semata-mata tidak seharusnya mengatasi prinsip kepercayaan majoriti dan mandat rakyat.
“Apakah asas penetapan had 10 tahun ini, memandangkan ia tidak terkait langsung dengan prestasi pentadbiran dan pilihan pengundi semasa pilihan raya?,” katanya.
Menurut beliau, sekiranya seseorang Perdana Menteri masih mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen serta kepercayaan rakyat, tempoh masa tidak wajar menjadi penghalang untuk terus mentadbir.
“Jika seseorang itu disokong oleh rakyat dan mendapat kepercayaan ahli Parlimen, berintegriti serta memiliki sahsiah yang baik, kenapa tempoh 10 tahun ini mesti menjadi penghalang?,” soal beliau lagi.
Dalam masa yang sama, Che Mohamad Zulkifly turut membangkitkan persoalan berkaitan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan Perdana Menteri, termasuk sama ada pindaan tersebut telah dirujuk dan dirundingkan dengan Baginda serta Majlis Raja-Raja.
Beliau turut menegaskan bahawa reformasi institusi seharusnya memberi penekanan kepada aspek integriti, moral dan rekod jenayah dalam kepimpinan negara.
“Sepatutnya pindaan ini memfokuskan pada faktor yang lebih penting, integriti, moral dan bebas daripada rekod jenayah. Itu lebih utama,” katanya.
Mengulas Perkara baharu 4A, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya situasi kerajaan caretaker secara tiba-tiba di tengah penggal sekiranya had 10 tahun dicapai.
Menurutnya, pertukaran kepimpinan yang berlaku bukan kerana hilang kepercayaan atau keputusan pilihan raya, tetapi semata-mata faktor teknikal garis masa, berpotensi menjejaskan kelicinan pentadbiran serta kestabilan pasaran dan ekonomi.
Dalam perbahasan sama, beliau turut menyentuh soal standard integriti dalam perkhidmatan awam yang menetapkan individu dengan rekod jenayah tidak boleh dilantik serta boleh digantung atau diberhentikan jika disabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa reformasi Perlembagaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berteraskan prinsip tadbir urus yang kukuh.