Pentadbiran Masjid Perlu Lapor Jika Ada Ajaran Meragukan - Sultan Mizan
Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir Tawar Potongan Tiket 20 Peratus
KUALA TERENGGANU, 3 November - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), menawarkan potongan tiket sebanyak 20 peratus kepada pengunjung Perkampungan Konservasi Gajah Tasik Kenyir Elephant (KECV) bagi menarik kunjungan lebih ramai pelancong bermula semalam.
Pengerusinya, Senator Dato Razali Idris berkata, potongan harga tiket sebanyak 20 peratus untuk pengunjung tempatan dan luar negara itu ditawarkan sehingga Mac tahun depan.
Katanya, pengunjung juga boleh mengikuti aktiviti menaiki jambatan gantung sambil melihat kehidupan 18 ekor gajah, interaksi bersama gajah, memberi makan gajah dan melihat gajah mandi dari kawasan restoran mengikut SOP yang kita tetapkan.
"Pengunjung juga berpeluang untuk mandi manda dengan gajah.
"Harga tiket baharu yang kita kenakan bagi warganegara yang berusia 13 tahun ke atas adalah RM25 berbanding RM40 dan RM50 untuk warga asing,” katanya melalui kenyataan media, baru-baru ini.
Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan pandemik COVID-19, Razali berkata, hanya individu yang lengkap divaksinasi dibenarkan ke pusat berkenaan.
"Kanak-kanak berusia 13 tahun ke bawah dibenarkan memasuki kawasan berkenaan dengan syarat penjaga lengkap divaksinasi.
"Pengunjung diminta sentiasa memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan sosial serta menjaga kebersihan diri sepanjang berada dalam kawasan KECV," katanya.
Beliau juga optimis jumlah pengunjung akan meningkat dengan inisiatif potongan harga tiket di samping pengenalan aktiviti baharu kepada pengunjung.