Perkhemahan Mesra Harmoni Satukan Dua Kampung

Penduduk membina bangsal untuk bermalam di pantai.
MARANG - Sempena Hari Kebangsaan 2018, penduduk Kampung Kelulut dan Kampung Bukit Kemas berkerjasama menganjurkan program Perkhemahan Mesra Harmoni berlangsung di Pantai Kelulut, Marang selama dua hari bermula kelmarin (29 Ogos).

Pengarah program, Rosdi Ibrahim, 43, berkata penganjuran itu bertujuan mengeratkan hubungan penduduk kampung di samping menyemarakkan semangat kemerdekaan.

"Selain itu, ia adalah usaha memperkenalkan golongan muda kepada tradisi dan keharmonian generasi terdahulu.

Rosdi Ibrahim.
"Perpaduan yang dikecapi dahulu harus diangkat kembali supaya ia dapat dikekalkan sehingga generasi akan datang melangkaui fahaman politik, bangsa dan agama," katanya.

Pelbagai permainan seperti tiup belon, galah panjang, bowling kelapa dan tarik tali diadakan melibatkan anak kecil dan dewasa.

Paling menarik, sebanyak 50 bangsal daun kelapa dan lebih 20 buah khemah disediakan untuk peserta bermalam di pantai.

Lebih 300 orang hadir memeriahkan program teraebut yang berakhir dengan gotong-royong membersihkan pantai hari ini.

Galah panjang antara acara yang menjadi tumpuan.





Tag: