Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Permai Hotel Tawar Pakej Pelancongan Dan Umrah Percuma
Oleh : Zukifli Bin Mat
KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Permai Hotel memperkenalkan inisiatif sokongan buat tetamu yang menginap untuk menyertai cabutan bertuah sebagai salah satu bentuk penghargaan buat tetamu hotel sebagai usaha merancakkan pembangunan industri pelancongan di Negeri Terengganu.
Pengerusinya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia adalah hasil kolaborasi bersama beberapa buah syarikat pelancongan yang bergiat aktif di negeri Terengganu.Kerjasama ini dibuat sebagai salah satu bentuk pengukuhan bisnes antara usahawan, khususnya pemain industri pelancongan.
“Permai Hotel akan memainkan peranan mempromosikan syarikat penaja dengan pelbagai medium yang dimiliki dan syarikat penaja pula membantu dalam memeriahkan sambutan yang dilaksanakan.
“Apatah lagi dalam suasana semasa hari ini menyaksikan persaingan yang rancak dalam industri perhotelan di Terengganu,”katanya sempena Majlis Pengumuman Cabutan Bertuah, petang tadi.
Majlis Pengumuman Cabutan Bertuah diadakan bagi mengumumkan pemenang pakej percutian tiga hari dua malam ke destinasi pilihan antara Jakarta, Bandung atau Ho Chi Minh yang merangkumi tiket penerbangan pergi balik dan penginapan sepanjang berada di destinasi untuk dua orang.
Kempen ini telah berlangsung semenjak Disember 2018 dan berakhir pada 28 Februari 2019 yang lalu. Kerjasama strategik ini dijayakan bersama dengan syarikat pelancongan Smart IQ Travel Agency Sdn Bhd.
Tambahnya lagi, sebagai satu kesinambungan, Permai Hotel terus menjalinkan kerjasama strategik pula dengan pihak In Saff Travel & Tours Sdn Bhd. Kini, bermula Mac 2019 sehingga 31 Ogos 2019 promosi penginapan di Permai Hotel akan melayakkan penyertaan cabutan bertuah untuk mendapatkan pakej umrah percuma yang akan ditaja sepenuhnya oleh In Saff Travel & Tours Sdn Bhd.
“Penginapan satu malam sudah melayakkan penyertaan mana-mana tetamu persendirian yang bermalam di Permai Hotel untuk sertai tawaran ini.
“Inisiatif-inisiatif lain dalam meningkatkan keupayaan pemasaran Permai Hotel akan diperkenalkan secara konsisten dan berterusan dengan pelbagai pendekatan dari masa ke semasa,”ujarnya lagi.
Sementara itu Pengurus Besar Permai Hotel, Noralizan Abd Rahman berkata, pihak kami mempelawa orang ramai dari segenap pelusuk Malaysia yang berkunjung ke Terengganu memilih penginapan di Permai Hotel.
“Kami mengalu-alukan tetamu kami dan bersedia memastikan tetamu hotel mendapat layanan sebaik mungkin.
“Kami menjangkakan sambutan yang lebih baik akan diperolehi Permai Hotel setelah inisiatif seperti ini mula diperkenalkan,” katanya.