Permintaan Air Tuak Meningkat Mendadak Di Bulan Ramadan

Ismail menunjukkan proses mengumpul air tuak sambil disaksikan Yang Dipertua Daerah Marang, Rozali Salleh (dua dari kiri) ketika lawatan ke kawasan perusahaan itu, baru-baru ini. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Air tuak atau air nira lazimnya mendapat sambutan ramai penggemar di bulan Ramadan sebagai pilihan utama juadah untuk berbuka puasa.
Seorang pengusaha air tuak kelapa pandan, Ismail Sulaiman, 56, berkata ketika Ramadan, permintaan air tuak akan meningkat lebih tinggi iaitu sehingga tiga kali ganda berbanding dari hari-hari biasa.
Menurutnya, kebiasaan jualan mencapai 30 liter sehari, tetapi pada bulan Ramadan boleh meningkat kepada 100 liter sehari.

“Kawasan ini tidak ramai yang menjual air tuak pandan, kalau ada pun, hanya yang menjual air tuak biasa sahaja.
“Ramai orang datang membeli air tuak dengan saya kerana hanya saya seorang sahaja yang menjual air tuak kelapa pandan di kawasan ini. Malah, saya boleh menjual dengan harga borong RM40 untuk 10 liter air tuak," katanya yang sudah mengusahakan perniagaan itu sejak 2005 lagi.
Perkataan tuak ini merujuk kepada nira iaitu minuman yang dihasilkan dari mayang kelapa yang kandungan gulanya belum bertukar kepada alkohol. Rasanya agak masam manis dan ianya tidak memabukkan.
Terdapat beberapa jenis air tuak antaranya tuak nipah, tuak tar, tuak sagu dan yang paling popular ialah tuak kelapa, dikatakan tuak yang paling sedap ialah yang dihasilkan dari pokok kelapa wangi dan kelapa pandan.

Tag: