Permohonan U-GATES Kini Dibuka




KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Golongan graduan kini boleh memohon untuk menyertai Program Usahawan Graduan Terengganu Sejahtera (U-GATES) merangkumi latihan keusahawanan, modal perniagaan dan pemantauan prestasi peserta, bagi pengambilan pertama yang akan bermula Februari ini.

U-GATES menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan Negeri Terengganu (YPUT) menyediakan peruntukan RM1 juta sepertimana yang diumumkan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengumumkan bajet negeri 2019, pada Disember lalu bertujuan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan. 

Pengerusi Jawatankuasa, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, rakyat Terengganu yang mempunyai sekurang-kurangnya diploma daripada mana-mana institusi pengajian tinggi yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia (tamat pengajian 2015-2018) boleh merebut peluang keemasan itu.

“Syarat lain adalah peserta perlu menjalani latihan keusahawanan selama enam bulan serta berminat menjadi usahawan secara sepenuh masa.

"Golongan yang berminat menjadi usahawan secara sepenuh masa disarankan merebut peluang itu,"katanya kepada media Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Nurkhuzaini berkata, program itu bertujuan menyediakan peluang pekerjaan melalui keusahawanan sekali gus mampu mengurangkan kadar pengangguran.

Tambahnya, U-GATES juga menjadi persediaan dan platform kepada usahawan graduan sebelum menceburi alam niaga yang realistik dan meningkatkan pembangunan ekonom dan negeri dan negara.

Oleh yang demikian, sesiapa yang berminat bolehlah melayari laman Facebook : YPUTerengganu untuk mendapatkan borang permohonan menyertai program itu yang akan ditutup pada 13 Januari ini.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi YPUT di talian 096242424.



Tag: