Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
Persidangan TeMIC 2021, Wadah 188 Kajian Pelbagai Bidang
DUNGUN, 11 April - Sebuah persidangan kajian tiga bidang atau Terengganu Multidisciplinary International Conference atau TeMIC 2021 yang menempatkan hasil kumpulan sebanyak 188 kertas kerja menuju ke arah inovasi dan transformasi masa hadapan.
Pengerusi TeMIC 2021, Assoc. Prof. Ts. Dr. Sarifah Fauziah Syed Draman berkata, persidangan pelbagai disiplin itu adalah hasil gabungan trio jurusan atas faktor strategi dan melibatkan bidang seperti pendidikan, pentadbiran, ekonomi, sains dan sebagainya.
“Program dwitahunan ini kali kedua diadakan sejak tahun 2018, dan pertama kali dijalankan secara maya dengan penglibatan peserta tempatan dan luar negara.
“TeMIC 2021 bertujuan untuk memberi peluang yang sangat baik kepada para profesional, jurutera, ahli akademik dan orang industri untuk berkongsi dan bertukar idea, kemajuan dan output penyelidikan serta aplikasi dalam berbagai bidang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup TeMIC 2021, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, baru-baru ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diringi Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Prof. Ts. Dr. Mazidah Puteh.
Sementara itu, Dr. Sarifah memaklumkan, antara objektif acara tersebut adalah untuk mempromosikan perbincangan dan pertukaran idea dan pengetahuan di kalangan penyelidik dari pelbagai negara dalam pelbagai bidang sains sosial, kejuruteraan, dan teknologi.
“Selain itu, untuk memudahkan pembentukan jaringan di antara industri dan antara institusi akademik tempatan dan antarabangsa dan untuk mengumpulkan dan membincangkan kertas kerja mengenai bidang multidisiplin.
“Banyak penemuan baharu telah dikongsi dan para pengkaji terlibat boleh ambil peluang untuk aplikasi dalam kerja kajian dalam bidang berkaitan. Ia sangat membantu dan kebanyakan kertas selidik selari dengan revolusi industri 4.0,” jelasnya.
Untuk rekod, TeMIC 2021 menggabungkan tiga sidang iaitu Terengganu International Business and Economics Conference (TiBEC VII), International Academic Conference (IAC V), and International Conference of Emerging Challenges in Engineering and Current Technology (ICECT III).