Perumahan Padang Setengge Yang Terbengkalai Bercahaya Semula

KUALA TERENGGANU, 31 Mac – Projek Perumahan Padang Setengge yang terbengkalai ketika era pemerintahan kerajaan terdahulu akan bercahaya kembali selepas proses baik pulih selesai sepenuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, projek itu hanya menunggu kelulusan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam masa terdekat.

Katanya, perkembangan tersebut sekali gus menafikan dakwaan liar pihak tertentu bahawa kerajaan PAS Terengganu gagal menyelesaikan isu terbabit.

“Projek perumahan tersebut sepatutnya siap pada Ogos 2014 ketika Dato' Seri Ahmad Said menjadi Menteri Besar namun terbengkalai sehingga PAS mengambil alih kerajaan dan berjaya menyelesaikan isu tersebut. 

“Saya dimaklumkan kontraktor petang tadi (semalam) bahawa projek tersebut telah siap sepenuhnya, sekarang menunggu kelulusan elektrik daripada TNB sahaja,” tambahnya dalam Ceramah Perdana Teguh Pertahan 1.0 di Besut, semalam.

Antara dakwaan yang tidak diketahui sumbernya berlegar di media sosial.

Dr Alias turut berkata, para pembeli perumahan telah berjumpa dengannya dan meminta campur tangan kerajaan semasa kerana projek tersebut terbengkalai walaupun bayaran bulanan kepada bank sudah berlaku. 

Terdahulu, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM8.5 juta hingga RM10 juta bagi kos pembaikan rumah terbengkalai di Padang Setengge yang berjumlah 234 unit rumah.


Tag: