Peruntukan RM40,000 Naik Taraf Kampung Tiong
KUALA TERENGGANU, 11 Januari – Peruntukan sebanyak RM40,000 disalur bagi menaik taraf dan penambahbaikan Kampung Tiong.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata Kampung Tiong sentiasa menjadi tumpuan para pelancong dalam dan luar negeri ketika berkunjung ke Kuala Terengganu.
Katanya, penambahbaikan itu akan memberi keselesaan buat para pengunjung dengan pemandangan indah dan lebih kondusif.
“Yang pertama adalah projek menaik taraf serta mencantikkan kawasan penjaja pasar tani.
“Kedua iaitu kerja-kerja mengecat, menyelenggara serta menceriakan bangunan medan selera pasar pagi deretan kawasan penjaja,” jelasnya.
Beliau berkata demikian melalui satu kenyataan dalam laman Facebook Miliknya pada hari ini.
Turut hadir dalam tinjauan tersebut, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu bagi hal ehwal bukan Islam, Dr Balachandran Gopal Krishnan.
Tambah Amzad, Kerja-kerja yang akan dilakukan adalah seperti membaiki bumbung yang uzur, membaiki longkang serta penutup yang rosak.
Di samping, membaiki lantai, tapak gajah dan penghadang jalan, dan menambah tong sampah juga turut dilakukan.
“Semoga usaha ini akan berjaya menjadikan Kampung Tiong lebih indah serta menarik lebih ramai lagi pelancong untuk datang ke Kuala Terengganu.
“Secara tidak langsung akan merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya,” katanya.