Sebat di Khalayak : Tiada Isu Islamofobia, Selari Prinsip Islam - Ketua Hakim Syarie
Perutusan Khas MB Terengganu Sempena Sesi Persekolahan Baru 2019
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Foto - Hishamuddin Abdullah |
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT di atas segala nikmat dan rahmat yang diberikan-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W.
Tahun 2018 telah melabuhkan tirainya dengan pelbagai pencapaian dan pengalaman yang manis dan juga pahit. Tahun 2019 telah membuka halaman baru, kita semua sudah pasti mengharapkan pencapaian tahun ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Sempena dengan sesi persekolahan baru 2019 ini, saya ingin mengucapkan selamat datang dan selamat kembali ke sekolah kepada pelajar-pelajar dan guru-guru setelah bercuti pada hujung tahun lepas.
Sebagai Menteri Besar, saya meletakkan harapan tinggi kepada anak-anak pelajar yang merupakan pewaris negeri Terengganu ini. Jadikan semangat tahun baru 2019 sebagai keazaman untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga memperolehi keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Oleh itu, tekunlah menuntut ilmu dan bersama kita membangunkan negeri Terengganu yang kita cintai dengan nilai keilmuan.
Pada era globalisasi ini, kepincangan akhlak dan pelbagai serangan pemikiran telah masuk ke negara kita. Ia merupakan satu ancaman terutamanya kepada anak-anak pelajar. Sebagai benteng daripada terjebak dengan ancaman budaya dan pemikiran yang tidak baik ini, pendidikan mesti diperkasa bagi membekalkan anak-anak pelajar dengan ilmu yang boleh membezakan antara yang benar dan salah.
Saya juga yakin dengan komitmen dan dedikasi para guru yang bukan sahaja bertindak sebagai pengajar (muallim) bahkan berperanan sebagai pendidik (murabbi) yang mendidik pelajar menjadi insan yang bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara. Sudah pasti kerjasama yang padu antara pihak pentadbir, guru, ibu bapa dan pelajar amat diperlukan bagi memperolehi pencapaian maksimum sama ada dari segi akademik mahupun sahsiah diri.
Semoga tahun 2019 ini menjadi tahun yang cemerlang buat negeri Terengganu dalam bidang pendidikan dan juga berjaya untuk melahirkan warganegara Malaysia yang boleh menyumbang dalam kemajuan dan kesejahteraan negeri dan negara.
"Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera"
YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu
31 Disember 2018 bersamaan 23 Rabi'ul Akhir 1440H