Pesta Buku Terbesar Terengganu Berakhir Esok

KUALA TERENGGANU, 30 September - Penganjuran Pesta Buku terbesar peringkat negeri di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu yang bermula 25 September lalu akan berakhir esok.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Ridzuan Hashim berkata Pesta buku kali ini merupakan program paling ditunggu-tunggu oleh para penulis, pembaca dan peminat buku yang sentiasa dahagakan ilmu.

Katanya, program yang diadakan setiap tahun bermula 2018 itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta tajaan Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO).

"Seramai 73 penerbit dari tempatan dan luar turut hadir. Selain itu, jualan alat bantuan mengajar dan juga alat tulis turut diadakan pada Pesta Buku kali ini.

"Pelbagai kategori bahan bacaan juga dijual seperti novel, komik, buku pelajaran dan bahan bacaan umum dengan harga promosi berpatutan, pelbagai pengisian program disediakan kepada pengunjung yang hadir sepanjang tempoh tujuh hari pesta buku ini berlangsung dengan pelbagai kategori bermula dari kanak-kanak hingga dewasa.

"Antara aktiviti menarik turut diselitkan adalah pertandingan mewarna, bercerita, kuiz, busana perpaduan, jigsaw puzzle, ceramah kekeluargaan, bicara karya, ulasan sukan spontan, permainan tradisional, pertunjukan wayang kulit, busking dan banyak lagi program disediakan, pesta kali ini menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung," katanya kepada media.

Selain itu katanya, jualan makanan daripada peniaga-peniaga food truck dan Bazar PPAT, dan juga kehadiran figura terkenal tanah air bagi memeriahkan lagi suasana.

“Antara figura terkenal tersebut iaitu Datuk Imuda, Ben Wong, Sharina Elisa, Muzuza, Adik Dhani, Hudanajwa dan ramai lagi masing-masing mempunyai slot khas.

“Semasa berlangsungnya Pesta Buku ini, perkhidmatan Perpustakaan juga telah dilanjutkan sehingga jam 10 malam, melibatkan bahagian kanak-kanak dan pinjaman dewasa.

“Turut memeriahkan Pesta buku kali ini pembukaan kaunter semakan Wang Tak Dituntut (WTD) oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia, perkhidmatan kaunter bergerak oleh MAIDAM, pameran robotik daripada TATIUC.

“Saya amat mengharapkan agar semua pihak terlibat semasa Pesta Buku kali ini sentiasa komited dalam usaha meneruskan dan memajukan industri media cetak dan seterusnya membangunkan masyarakat berilmu pengetahuan, jadi rebutlah peluang ini untuk mendapatkan buku kegemaran dengan harga mampu milik,” ujarnya.