Petah Berpidato, Si Cilik Enam Tahun 'Pukau' Lebih 15 Ribu Penonton

KUALA NERUS, 1 Januari - Si cilik, Amatullah Hamidah Muhammad Luqman Al-Hakim dari Kuala Terengganu berjaya mencuri tumpuan ramai kerana kepetahan berpidato dengan intonasi serta gaya yang cukup menyakinkan di Malam Munajat Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan negeri .

Anak kecil yang baru berusia enam tahun menceritakan perjalanan serta semangat perjuangan Rasulullah SAW tanpa rasa gentar di pentas utama dengan lebih 15 ribu penonton di hadapannya.

Pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI)  Al-Furqan itu sangat teruja dan gembira kerana menyampaikan pidato di khalayak umum seumpama itu merupakan pengalaman pertama dan sangat berharga tanpa rasa takut.

"Saya rasa bangga dan sangat bersyukur kepada Allah kerana berjaya menyampaikan pidato di pentas seumpama ini di hadapan orang dewasa.

"Saya tidak gementar kerana telah menerima bimbingan yang cukup baik oleh guru PASTI serta ibu dan bapa saya sendiri yang bersungguh-sungguh melatih saya untuk memastikan perjalanan saya hari ini berjalan lancar.

"Sebelum ini saya muncul Johan Pidato pada program Alam Ria PASTI peringkat Malaysia,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, semalam.

Tambah Hamidah, dia berazam untuk melangkah jauh ke hadapan bagi terus mengharumkan nama Terengganu dan akan membawa nama baik PASTI.

Sementara itu, ayahnya, Muhammad Luqman Al-Hakim Mohd Radzi, 32, berkata, bakat yang ada pada diri Hamidah telah dikesan oleh Guru PASTI sejak berusia lima tahun.

"Di PASTI penguasaannya terhadap ilmu menulis, membaca, menghafal al-Quran begitu cepat, Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana berikan kepadanya ingatan yang kuat.

"Ketika berusia lima tahun, dia pernah menyertai pertandingan Hafazan Terbuka Anjuran Alam Ria PASTi peringkat negeri namun tidak muncul sebagai juara pada ketika itu kerana lelah, dan kemudiannya sekali lagi menyertai Hafazan Terbukan Anjuran Sri Showme dan telah muncul sebagai juara," ujarnya.

Setelah mengetahui bakatnya dalam pidato, dia dan isteri, Hasmah Darwis, 31, bekerjasama dengan gurunya membimbing Hamidah dengan memastikan Hamidah sentiasa berlatih dan menghafal teks dari sudut gaya serta intonasi.

"Pada bulan Januari ini, dia akan menyertai pertandingan antarabangsa untuk kategori sajak yang dianjurkan oleh 'Global Arts, Sports And Culture Association',"katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Lukman menasihatkan mana-mana ibu bapa yang melihat kebolehan serta bakat yang ada pada anak mereka agar memberikan dorongan serta galakan.

"Dengan mengesan bakat yang ada pada diri mereka, kita cuba bantu dan dorong anak-anak agar mereka dapat pergi jauh dengan bakat yang mereka miliki,"katanya.