DUNGUN, 23 September - Seorang petani terpaksa berputih mata apabila kebun tanaman miliknya musnah dalam satu kejadian ribut baru-baru ini sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM40,000.
Petani tersebut, Wan Abd Rahim Wan Jalil berkata, kejadian itu berlaku dalam masa yang sangat pantas dan dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyelamatkan tanamannya di Kampung Tebing Tembah, Paka.
"Saya tidak sangka ribut yang datang baru-baru ini lebih kuat daripada biasa.
"Kerugian yang terpaksa saya tanggung dianggarkan bernilai hampir RM40,000," katanya ketika ditemui pemberita di kebunnya baru-baru ini.
Walau bagaimanapun katanya, dia redha dengan ujian yang berlaku dan menganggap ia sebagai pemangkin untuknya terus bergerak ke hadapan.
"Saya sangat sedih namun saya anggap ini ujian daripada Allah dan saya terimanya dengan redha," ujarnya yang berasal dari Kampung Kubang Miang.
Perkara tersebut turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Wan Hapandi dalam satu lawatan baru-baru ini telah memberikan sedikit sumbangan bagi meringankan kerugian ditanggung Abd Rahim.
“Insya-Allah sedikit sumbangan turut dihulur bagi meringankan beban beliau. Diharap beliau terus kuat untuk mengusahakan tanaman ini," tambah beliau.