• 05 Nov 2024 | 03 Jamadil Awal 1446

Pinjaman Tanpa Caj Bantu Belia Ceburi Sektor Pertanian

KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan Negeri memperkenalkan kemudahan pinjaman tanpa faedah mulai tahun 2019 bagi penyediaan modal permulaan kepada golongan muda yang berminat menceburi sektor pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ianya melalui Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) bagi membantu mereka (anak muda) yang terlibat dengan bidang pertanian, penternakan dan perikanan.

“Tumpuan pelaksanaan skim ini adalah kepada aktiviti pengeluaran makanan dan skim bantuan dalam bentuk barangan.

“Pada tahun ini, sebanyak RM 2 juta diperuntuk kepada golongan belia dalam SBMT bagi memulakan projek dalam sektor pertanian,” ujarnya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli yang ingin tahu mengenai apakah strategi kerajaan bagi penyediaan modal permulaan kepada golongan muda yang berminat menceburi sektor pertanian.

Mengulas lanjut katanya, melalui program Agropreneur Muda pula, kerajaan negeri menyediakan bantuan dalam bentuk geran kepada usahawan muda berumur antara 18 hingga 40 tahun yang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dan pertanian.

“Kerajaan melalui kerjasama strategik dengan Agrobank juga menyediakan pelbagai program dan inisiatif bagi menggalakkan golongan muda menceburi bidang pertanian. 

“Antara bentuk bantuan untuk golongan belia termasuk pemberian dana kerajaan melalui Agrobank sebanyak RM950,000 sebagai modal permulaan petani muda serta peruntukan pinjaman RM100 juta kepada usahawan di bawah usia 40 tahun,” jelasnya.

Menurut beliau, Agrobank menerusi usahasama dengan para rakan strategiknya turut giat menguruskan Program Pembangunan Belia Tani dalam Kalangan Siswazah (PROBEST), terutama dalam penyediaan dana program di samping membangunkan usahawan belia tani dengan membekalkan latihan dan bimbingan keusahawanan, termasuk pemantauan dan pelaporan program.