Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
PKM Batu Rakit Teruskan Tradisi Solat Hajat SPM
KUALA NERUS, 22 Januari - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Batu Rakit meneruskan tradisi meraikan dan mendoakan pelajar yang bakal berdepan peperiksaan melalui Majlis Solat Hajat Perdana SPM.
Majlis yang dilaksanakan di Masjid As Salam, di sini, semalam melibatkan masyarakat setempat dan ibu bapa pelajar bermula pada jam 7.30 malam dan berakhir pada jam 9.00 malam.
Berkaitan program terbabit, Pengarahnya, Azharuddin Shafee menjelaskan bahawa sememangnya telah menjadi tradisi bagi PKM Batu Rakit bersama-sama mengadakan solat hajat.
Azharrudin berkata, majlis itu dapat merapatkan hubungan antara masyarakat sekitar dengan pihak sekolah, warga pendidik dan juga ibu bapa pelajar.
“Program sedemikian bukan baru tetapi telah sebati dan menjadi tradisi kita di Batu Rakit, bukan hanya untuk peperiksaan namun banyak lagi program-program kemasyarakatan yang lain kerana PKM Batu Rakit adalah satu keluarga besar bagi masyarakat di sini.
"Seterusnya, majlis ini secara tidak langsung dapat mendidik pelajar agar sentiasa bergantung kepada Allah SWT dalam semua urusan hidup," ujarnya.
Tambahnya lagi, dengan terlaksananya program sebegini, pelajar akan sentiasa menghormati guru-guru dan mengenang jasa serta pengorbanan mereka dalam mendidik dan mengasuh pelajar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa serta negara.
Dalam hal ini beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Masjid As Salam Batu Rakit, JPKK setempat dan orang ramai yang bersama-sama hadir serta mendoakan kejayaan anak-anak yang berdepan peperiksaan.