PKP: Polis Terengganu Adakan SJR Di 25 Lokasi Strategik

KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Bagi menyekat pergerakan rentas negeri dan daerah di Terengganu, sebanyak 25 sekatan jalan raya (SJR) diadakan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula tengah malam ini.

Ketua Polis Terengganu, Dato’  Roslee Chik berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"20 SJR  ‘mobile’ yang bergerak kadang-kadang empat jam atau enam jam daripada satu tempat ke satu tempat di beberapa lokasi iaitu empat di Setiu, Kuala Terengganu (tiga), Dungun (dua), Kemaman (satu), Marang (tiga), Hulu Terengganu (tiga) dan Besut (empat).

"Manakala lima lagi selama 24 jam bagi mengawal sempadan negeri iaitu RNR Perasing, Paya Berenjut dan Tol Cheneh manakala di Pachakan dan Tok Saboh di Besut,"katanya dalam sesi soal jawab menerusi Facebook Live Terengganu FM hari ini.

Sementara itu, seramai 1,565 anggota dari pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertugas dalam penugasan keseluruhan berkaitan COVID-19 dan SJR sepanjang PKP berlangsung sejak 18 Mac 2020.

"Untuk rekod sepanjang PKP tahun lepas, kita telah keluarkan sebanyak 1,267 kompaun untuk pelbagai kesalahan  dan sehingga Januari tahun ini , 54 kompaun telah dikeluarkan.

"Antara kesalahan-kesalahan yang paling utama adalah tidak memakai penutup muka, tidak membuat catatan di buku daftar, tiada penjarakan sosial dan juga langgar perintah kawalan PKP, "ujarnya lagi.

Tambah Roslee, pihaknya terpaksa bertegas untuk memastikan supaya SOP-SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dipatuhi bagi memastikan wabak pandemik ini dapat diputuskan.

 


Tag: