lightning-solid
Berita :
PM Silap Maklumat, Dr. Azman Betulkan Fakta
PM Silap Maklumat, Dr. Azman Betulkan Fakta
Hidayah Azlin
03 Dec 25
791

KUALA TERENGGANU 2 Disember – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Negara mengenai tindakan sebuah negeri yang menyita tanah Felda walaupun cukai telah dibayar disifatkan tersasar daripada fakta sebenar.

Pengerusi Jawatankuasa Task Force Penyelesaian Tanah Felda Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Terengganu telah menerima bayaran cukai tanah daripada Felda untuk tanah ladang di negeri itu.

Beliau mendakwa, terdapat maklumat salah yang disalurkan kepada Perdana Menteri, menyebabkan kekeliruan fakta di Dewan Negara.

Menurut Dr. Azman, punca masalah utama adalah status hak milik tanah tersebut.

“Seluas 15 ribu hektar tanah ladang Felda di Terengganu tak pernah diberi milik kepada Felda. Dengan istilah lain, Felda tak ada geran hak milik kepada semua tanah tersebut,” jelas beliau dalam kenyataannya hari ini.

Beliau turut menekankan bahawa bayaran cukai tanah hanya boleh dilakukan sekiranya hak milik tanah telah diserahkan.

“Bagaimana Felda boleh bagi info kepada PMX bahawa mereka dah bayar cukai tanah kepada Kerajaan Negeri Terengganu sedangkan tanah itu bukan milik mereka?,” soal Dr Azman, yang menuntut penjelasan segera daripada pengurusan Felda.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu itu turut mengambil peluang untuk menjelaskan perbezaan pembayaran hasil tanah Felda.

“Felda bayar hasil tanah kepada Pahang bukan Terengganu. Ini adalah fakta yang perlu difahami bagi mengelakkan kekeliruan,” tegas beliau, merujuk kepada kemungkinan kekeliruan antara dua negeri yang menggunakan warna bendera hitam putih.

Sehubungan itu, Dr. Azman mendesak Perdana Menteri untuk memperbetulkan semula kenyataan yang telah dibuat di Dewan Negara, bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri Terengganu kononnya menyita tanah meskipun telah menerima cukai tanah.

Isu penyitaan tanah Felda di Terengganu dilaporkan timbul susulan kegagalan mencapai penyelesaian terhadap tanah yang diusahakan tanpa hak milik yang sah, melibatkan kawasan ladang yang sangat luas.

   


Artikel Berkaitan