Polis Terengganu Seru Mangsa Penipuan Homestay Tampil
KUALA TERENGGANU, 8 Jun – Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu menasihatkan individu yang menjadi mangsa penipuan rumah inap di Terengganu supaya tampil membuat laporan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Supt M Zamri Mahmud berkata, semakan di Kontinjen Terengganu mendapati hanya terdapat satu aduan berkenaan rumah inap tersebut.
“Laporan diterima daripada seorang mangsa di mana beliau telah menerima sebuah mesej pesanan ringkas dari satu nombor telefon yang mengaku sebagai pemilik rumah inap di Jalan Pasir Panjang.
“Pada hari yang sama, mangsa telah membuat pembayaran secara dalam talian ke satu akaun berjumlah RM221.50.
“Namun, apabila mangsa pergi ke lokasi rumah inap berkenaan, ia didapati tidak wujud,” katanya melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan PDRM, hari ini.
Jelasnya, pihak Polis sedang melakukan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun yang mana jika disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman penjara dalam tempoh tidak kurang dari 1 tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dengan sebatan dan juga dikenakan denda.
Terdahulu, Sinar Harian semalam melaporkan bahawa salah seorang pelancong, Masnawi Md Yusoff, 50 berkata, mereka sekeluarga mengalami perkara sama ketika ingin menyambung percutian di Terengganu setelah melawat beberapa lokasi di Kelantan.
Menurut mangsa, beliau menempah rumah inap secara dalam talian pada pagi Jumaat dan telah membayar sejumlah RM245 untuk menginap selama dua hari, dua malam iaitu pada 5 hingga 7 Jun.
"Saya tiba di situ pada Ahad lalu. Sebaik tiba di lokasi berkenaan, saya gagal menemui rumah inap yang telah ditempah. Saya cuba menghubungi 'pemilik' rumah berkenaan beberapa kali namun talian tidak dijawab," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.
Masnawi yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan turut diberitahu oleh beberapa individu yang tinggal berdekatan lokasi bahawa sudah ramai yang menjadi mangsa dan dipercayai tertipu dengan rumah inap yang tidak wujud itu.