KUALA TERENGGANU, 23 November - Umat Islam di Malaysia hari ini berpecah kerana bergaduh sesama sendiri sehingga terpecah kepada beberapa blok.
Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sewajarnya orang-orang Melayu di negara ini bersatu hati agar Malaysia berupaya menjadi contoh serta permulaan yang baik untuk negara Islam bangkit dan tidak ditindas.
"'Political Party' yang memecah belahkan kita, kalau dahulu kita hanya ada satu (blok) sekarang sudah berpecah kepada lima.
"Sebab itu parti di Malaysia sudah melemahkan orang Melayu khususnya kerana kita berpecah dan berlawan sesama sendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media semasa berlansungnya Terengganu International Summit (TIS), di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, bermula tahun hadapan apabila Malaysia mengepalai Asean, negara ini perlu berusaha bagi memastikan United Nation diubah.
"Supaya tidak ada kuasa veto oleh mana-mana pihak dan itu boleh dibuat secara beransur-ansur, cadangan itu cuma Malaysia yang pernah cadangkan tetapi tidak ada susulan.
"Apa jua perkara ia perlu bermula dengan kecil-kecilan selepas itu diperbesarkan apabila lebih banyak negara-negara bersetuju untuk melakukan satu-satu tindakan," ujarnya.