MARANG, 3 Disember - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong secara rasminya ditutup pada petang ini setelah penghantaran pulang mangsa banjir terakhir selesai dilakukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata  operasi pemindahan terakhir itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan beberapa agensi lain yang terlibat dalam membantu mangsa banjir.

“Alhamdulillah, bantuan penghantaran balik mangsa banjir yang terakhir di PPS SMK Seri Payong sebentar tadi. Secara rasminya petang ini PPS SMK Seri Payong ditutup,” kata beliau dalam suatu kenyataan, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Mohd Nor berkata dengan Penutupan PPS berkenaan menandakan situasi banjir di kawasan tersebut semakin pulih serta membolehkan mangsa kembali ke kediaman masing-masing.

Mohd Nor turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi ini.

"Terima kasih kepada usaha dan pengorbanan pelbagai pihak, mangsa banjir kini dapat memulakan langkah pemulihan selepas menghadapi bencana tersebut," ujarnya.