KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) sedang meneliti perkembangan kecederaan pemain ragbi Terengganu, Sayyid Iskandar Mohamad Azaha,19, selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Bechah Salak, Jalan Batu Balai Chuchoh Puteri di sini, malm Sabtu.
Presiden PRNT, Amir Amri Mohamad berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat terperinci dari masa ke masa dengan pihak hospital tentang perkembangan kesihatan Sayyid sebelum memutuskan apa-apa keputusan.
"Di pihak pengurusan, saya tidak mahu ambil keputusan yang terburu-buru kerana dia masih lagi ditidurkan, ibu bapanya juga masih dalam trauma.
"Kita masih meneliti perkembangan kesihatan beliau dan akan ambil tanggungjawab membantunya.

Beliau juga memaklumkan, sebagai tindakan awal pengurus pasukan telah meminta izin daripada keluarganya untuk mengadakan kutipan derma kilat, disamping pihak persatuan sendiri akan memberikan sumbangan.
Menurut Amir, Sayyid merupakan pemain utama dalam skuad Ragbi Sukma Terengganu yang akan ke Temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Selangor pada Ogos ini.

"Berkenaan kecederaannya, kami dimaklumkan kaki kanan putus dan kita masih tidak tahu boleh disambung atau tidak, kerana dia dihantar ke Kuala Krai (Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP)), dan bukannya Kubang Kerian.
"Mungkin kerana keadaan ketika itu terlampau kritikal.

"Hari ini, pihak hospital masih lagi dalam proses meneliti bahagian mana lagi yang terkesan dengan kemalangan itu," tambahnya.