KEMAMAN, 2 November 2025 – Aidatul Akmal Ahmad Kamar, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian) dari Universiti College TATI (UC TATI) yang menamatkan pengajian dengan CGPA sempurna 4.00, menjadi bukti kemampuan pelajar Terengganu melakar kecemerlangan dalam bidang pendidikan tinggi.
Kejayaan luar biasa itu turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Satiful Bahri Mamat, yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UC TATI, ketika menyampaikan Anugerah Pengerusi UC TATI kepada Aidatul sempena Majlis Konvokesyen UC TATI ke-25 baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Dato’ Satiful menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada Aidatul atas pencapaian cemerlang tersebut yang disifatkannya sebagai kebanggaan UC TATI dan negeri Terengganu.
“Kejayaan Aidatul adalah cerminan usaha gigih dan tekad pelajar Terengganu yang tidak pernah mengenal erti putus asa. Dari Imtiaz Kemaman ke UC TATI, dan kini melangkah ke dunia industri dan inilah bukti bahawa sistem pendidikan negeri kita mampu melahirkan modal insan berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
“Semoga terus berjaya dan menjadi inspirasi kepada anak muda Terengganu untuk tidak pernah berhenti berusaha mencapai impian,” tambahnya.
Aidatul yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, Kemaman, memulakan pengajian di UC TATI melalui program Asasi Kejuruteraan sebelum meneruskan ke peringkat ijazah dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Kimia (Kepujian).
Kecemerlangannya turut diiktiraf melalui pelbagai anugerah seperti Anugerah Dekan bagi setiap semester dari tahun 2021 hingga 2025, Academic Excellence Award 2024/2025, serta Pingat Gangsa Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2024.
Beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah aktif dalam kepimpinan, inovasi, sukan dan kemasyarakatan, menjadikan Aidatul contoh pelajar seimbang antara ilmu dan sahsiah.
Kini, Aidatul meneruskan langkah gemilang sebagai Protégé GEES di Petronas Penapisan (Terengganu) Sdn. Bhd., selaras dengan aspirasinya untuk menyumbang kepakaran dalam bidang kejuruteraan kimia di peringkat industri.
Kisah kejayaan Aidatul wajar dijadikan inspirasi buat generasi muda Terengganu bahawa kejayaan bukan hanya diukur pada keputusan, tetapi pada semangat dan kesungguhan untuk terus belajar dan berbakti.
