KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Program Asasi selama enam bulan bukanlah penamat, sebaliknya hanya langkah pertama dalam perjalanan panjang pelajar IMTIAZ untuk membina ilmu, jati diri dan kepimpinan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato’ Saiful Bahri Mamat berkata, pelajar yang terpilih mengikuti pendidikan di Sekolah-Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu perlu sedar bahawa mereka membawa satu amanah besar.
“Enam bulan ini baru anak tangga pertama. Perjalanan menuntut ilmu masih panjang.
“Kamu adalah insan yang terpilih. Jadi gunakan peluang ini dengan sebaiknya, jaga hubungan dengan guru, hormati proses pendidikan dan jangan sesekali memisahkan diri daripada manhaj ilmu yang sedang dibina,” katanya.

Dato’ Haji Satiful berkata, sejarah Islam telah menunjukkan bahawa tokoh besar tidak lahir secara kebetulan, sebaliknya melalui proses pendidikan, bimbingan dan pembentukan jati diri yang panjang.
Beliau mengambil contoh Sultan Muhammad Al-Fateh yang telah dibentuk sejak usia muda dengan ilmu, disiplin serta matlamat yang jelas sebelum berjaya membuka Kota Constantinople.
“Dia tidak dibentuk dalam sehari. Sejak kecil sudah diberikan pendidikan, dibimbing oleh guru dan ditanam dalam dirinya satu cita-cita yang besar.
“Inilah yang kita mahu kepada anak-anak IMTIAZ. Bukan sekadar menghafaz, bukan sekadar mendapat keputusan peperiksaan yang baik, tetapi ada visi, ada jati diri dan bersedia menjadi pemimpin,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan alumni IMTIAZ sebelum ini juga perlu dijadikan contoh dan pembakar semangat kepada generasi baharu.
“Lihat generasi yang sudah berjaya sebelum kamu. Jadikan mereka sebagai qudwah dan buktikan bahawa generasi selepas ini juga mampu pergi lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Terengganu mahu terus melahirkan generasi al-Quran yang mampu bersaing dalam pelbagai bidang serta bersedia memikul amanah kepada masyarakat, negeri dan negara.
“Jangan rasa cukup hanya kerana sudah terpilih masuk IMTIAZ. Yang lebih penting ialah apa yang kita lakukan selepas diberi peluang itu.
“Teruskan belajar, jaga akhlak, hormati guru dan bina diri supaya satu hari nanti kamu pula menjadi generasi yang memberi manfaat kepada orang lain,” katanya.
