KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Kerajaan Negeri terus memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan demi melahirkan modal insan berkualiti sekaligus sebagai pelaburan terbaik untuk masa depan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi Dan Pembangunan Insan Negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, usaha dilaksanakan Yayasan Terengganu menerusi sistem pendidikan IMTIAZ dilihat selari dengan aspirasi Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang menekankan pembangunan insan berkualiti, berilmu, berkemahiran serta berpegang teguh kepada nilai-nilai Islam.

"Dalam konteks ini, pendidikan IMTIAZ merupakan antara model terbaik dalam melahirkan generasi yang menggabungkan kecemerlangan naqli dan aqli, selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk membina masyarakat berdaya saing tanpa mengabaikan nilai Islam, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Program Khas Asasi Ulul Albab Sekolah- Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2026 di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Satiful berkata, pembangunan modal insan yang diterapkan melalui Program Khas Asasi Ulul Albab turut menyokong agenda negeri dalam melahirkan generasi yang memiliki kemahiran abad ke-21, celik teknologi serta mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan kecerdasan buatan (AI), pendigitalan dan ekonomi masa hadapan namun tetap berpaksikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan kehidupan.
"Inilah kekuatan sebenar pendidikan IMTIAZ, iaitu melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan, bahkan mampu membina tamadun," katanya.

Satiful turut mengingatkan para pelajar supaya terus memelihara disiplin, menjaga hafazan al-Quran, menghormati guru dan ibu bapa serta menjadikan kecemerlangan akademik sebagai wasilah untuk berbakti kepada agama, bangsa dan negeri.
"Jadikanlah kecemerlangan akademik sebagai wasilah untuk berbakti kepada masyarakat dan al-Quran sebagai pedoman dalam setiap langkah kehidupan.
"Semoga usaha murni ini akan terus menjadi pemangkin kepada lahirnya lebih ramai
generasi Ulul Albab yang akan memimpin Terengganu dan Malaysia pada masa
hadapan, sekali gus merealisasikan aspirasi Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera, " ujarnya.