Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
Program Jelajah Anak Terengganu Seluruh Malaysia Bermula
PULAU PINANG, 10 Mac - Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 bermula hari ini bertempat di Tabung Haji (TH) Hotel, Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Makluman negeri, Ustaz Afiffin Deraman, berkata, ia bermula peringkat Zon Utara.
Katanya, Program anjuran Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) yang bernaung di bawah Yayasan Terengganu telah berjaya menghimpunkan lebih 350 anak-anak Terengganu yang menuntut di beberapa institiusi pengajian tinggi di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Beliau berkata, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu turut berkolaborasi mempamerkan elemen pelancongan di sepanjang program berlangsung di samping mengagihkan risalah pelancongan bukan sahaja kepada anak-anak Terengganu, malah kepada orang ramai yang hadir.
“ Saya rasa peranan anak-anak Terengganu di perantauan amat memberi impak mendalam membantu promosi dan galakan pelancongan dan saya bercadang untuk melantik anak-anak Terengganu sebagai Duta Pelancongan yang membolehkan masyarakat luar lebih mengetahui produk dan destinasi pelancongan yang terdapat di Negeri Terengganu.
“Jika perlantikan selebriti Mat Dan sebagai Ikon pelancongan bakal membantu misi galakan dan promosi di luar negara, perlantikan Duta Pelancongan anak-anak Terengganu di dalam Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 ini bakal menerobos pasaran pelancongan domestik yang masih lagi merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah kedatangan dan perbelanjaan pengunjung ke Negeri Terengganu,”ujarnya melalui satu hebahan kepada media.
Tambah beliau, Program Jelajah Anak Terengganu Peringkat negeri Sabah akan diadakan pada 17hb Mac 2019 ini, sementara Peringkat Zon Selatan akan diadakan di Batu Pahat Johor pada 23hb Mac 2019.
Katanya, ia diikuti dengan Jelajah Anak Terengganu Zon Tengah pada 7 hb April bertempat di Setiawangsa, Kuala Lumpur dan disudahi dengan jelajah Anak Terengganu peringkat Negeri Sarawak pada 14hb April 2019.
Menurutnya lagi, program sebegini memperlihatkan kelainan strategi berserampang dua mata yang menonjolkan keperihatinan Kerajaan negeri menjaga kebajikan anak-anak Terengganu dan mampu menonjolkan elemen tarikan pelancongan yang terdapat di negeri Terengganu dan ianya amat bertepatan dalam memacu pembangunan negeri kearah Maju, Berkat dan Sejahtera.