Projek ECRL di Terengganu Capai Kemajuan 90 Peratus

DUNGUN, 22 Januari - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu telah mencapai kemajuan paling pantas dalam negara dengan mencapai 90 peratus berbanding negeri-negeri lain.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembinaan projek itu masih mengikut jadual dan stesen di Dungun yang dilawatnya hari ini sudah 58 peratus siap.

Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pelabur yang ingin melabur dan membangunkan Tapak Pembangunan Berorientasi Transit (TOD) di Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kawasan Dungun.

"Ada cabaran tertentu tetapi saya rasa kerajaan negeri sangat terbuka untuk bincang dengan mana-mana pelabur yang ingin melabur untuk sama-sama bangunkan TOD.

"Memang kalau kita cakap dengan para pelabur yang ingin sama membangunkan TOD ini adalah kedudukan infrastruktur yang perlu sedia supaya mereka dapat terus menjalankan pembangunan di sini dan itu antara cabaran kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Dungun, di sini hari ini.

Dalam masa sama, Ahmad Samsuri juga telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan negeri  bersama Pegawai Kewangan negeri  untuk koordinat dengan Unit Perancangan Ekonomi negeri (UPEN) bagi merangka strategi bagaimana untuk mempersiapkan infra ini supaya memudahkan pelabur datang dengan cepat.

"Dan kalau kita tengok secara spesifiknya cabaran di sini, saya rasa jelas ini adalah kawasan yang green area (kawasan baru) dan ada stesen yang berada pada kedudukan lapan hingga sembilan meter atas aras laut...maka ia perlu ditimbun bagi mengelakkan banjir.

"Kita perlukan koordinasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya termasuk Tenaga Nasional Berhad untuk pastikan jalan masuk ke sini tiada gangguan banjir dan kawasan pembinaan pembangunan juga dapat meminimumkan kesan banjir itu sendiri," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri turut mengadakan perbincangan dengan pihak majlis dan Pejabat Daerah Dungun tentang potensi pembangunan TOD di kawasan tersebut.


Tag: