Berita :
Projek Keluarga Angkat DUN Ajil Jadi Perintis, Bakal Diperluas Ke Seluruh Terengganu
Projek Keluarga Angkat DUN Ajil Jadi Perintis, Bakal Diperluas Ke Seluruh Terengganu
Mastura Jamal Din
9 jam yang lepas
123

HULU TERENGGANU, 30 Jun - Projek Keluarga Angkat DUN Ajil (KADA) yang dilancarkan hari ini bakal dijadikan projek perintis sebelum diperluaskan ke seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu bagi memastikan kebajikan anak yatim dan keluarga yang menjaga mereka terus terbela.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, pendekatan itu bukan sahaja memberi tumpuan kepada anak yatim, malah membantu keluarga atau penjaga yang memikul tanggungjawab membesarkan mereka.

Menurutnya, konsep keluarga angkat itu diwujudkan kerana kebanyakan anak yatim dibesarkan oleh ibu tunggal, datuk atau nenek yang turut berdepan kesukaran hidup.

"Kita bukan sekadar menjaga anak yatim, tetapi juga keluarga yang membesarkan mereka. Daripada situ timbul idea untuk mewujudkan Projek Keluarga Angkat DUN Ajil.

"Insya-Allah, DUN Ajil akan menjadi projek perintis atau pilot project. Jika berjaya, kita berhasrat memperluaskannya ke DUN-DUN lain di Terengganu dengan persetujuan wakil rakyat dan bergantung kepada kemampuan kewangan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Projek Keluarga Angkat DUN Ajil di Ajil, hari ini.

Maliaman berkata, setiap keluarga yang mempunyai anak yatim akan didaftarkan di bawah program itu bagi membolehkan pemantauan dan bantuan disalurkan secara berterusan.

Katanya, bantuan meliputi keperluan persekolahan, sokongan untuk melanjutkan pengajian, bantuan barangan keperluan asas, pakaian Aidilfitri, program motivasi serta kaunseling mengikut keperluan.

"Anak-anak yatim ini tidak ditempatkan di pusat jagaan, sebaliknya terus tinggal bersama keluarga masing-masing. Kita mahu mereka terus disantuni dalam persekitaran sendiri sambil dipantau secara berkala," katanya.

Menurut beliau, sehingga kini sebanyak 46 keluarga telah didaftarkan menerusi kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), manakala proses pendaftaran keluarga lain masih diteruskan.

Tambahnya, pelancaran program itu turut menerima sambutan menggalakkan apabila berjaya mengumpulkan sumbangan sebanyak RM129,000 daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dan individu.

"Ini membuktikan masyarakat sangat prihatin terhadap kebajikan anak yatim. Sasaran kita adalah menggerakkan masyarakat untuk bersama-sama membantu golongan ini secara berterusan," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan