KUALA TERENGGANU, 12 November – Projek pembangunan Laluan Pejalan Kaki Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Fasa 1 kini mencatat kemajuan kerja sebenar sebanyak 70 peratus, sekali gus menandakan fasa penting dalam usaha menjadikan pesisir bandar raya ini sebagai pusat rekreasi moden berwajah warisan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, projek berimpak tinggi itu dijangka menjadi mercu tarikan utama di pesisir Kuala Terengganu sebaik siap sepenuhnya.
"Kemajuan kerja sebenar projek pembangunan Laluan Pejalan Kaki KTCC Fasa 1 setakat 21 Oktober 2025 adalah sebanyak 70 peratus," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat, dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa tarikh siap sebenar projek tersebut adalah pada 19 Januari 2025, namun kerja pembinaan diberikan lanjutan masa (EOT) sebanyak tiga kali bagi memastikan setiap aspek pelaksanaan menepati piawaian dan standard keselamatan yang ditetapkan.
"Projek ini telah diberikan lanjutan masa pertama sehingga 5 April 2025.
"Lanjutan kedua diluluskan sehingga 30 Ogos 2025, dan lanjutan ketiga pula diberikan sehingga 15 November 2025," jelas beliau.
Hanafiah berkata, apabila siap kelak, laluan pesisir itu akan menjadi simbol keseimbangan antara pembangunan moden dan nilai tradisi yang menjadi nadi identiti negeri Terengganu.
"Projek ini dijangka menjadi tarikan utama di pesisir Kuala Terengganu, khususnya dari kawasan Taman Shahbandar hingga ke Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
"Apabila siap nanti, ia akan mewujudkan suasana rekreasi pesisir bandar yang moden namun tetap beridentitikan warisan Terengganu," tambah beliau.
Beliau turut menjelaskan bahawa projek tersebut bukan hanya sekadar ruang riadah, tetapi turut menyokong sektor pelancongan domestik dan antarabangsa dengan pelbagai kemudahan lengkap serta mesra pengguna.
"Antara kemudahan yang akan disediakan termasuk laluan pejalan kaki, laluan basikal, tandas awam, pintu gerbang dan kemudahan landskap yang selesa dan selamat.
"Langkah ini selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh infrastruktur pelancongan agar Kuala Terengganu terus menjadi destinasi pilihan utama," ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut membuka ruang kepada penglibatan sektor swasta melalui pembangunan lima tapak komersial yang dirancang secara kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership), bagi menggerakkan ekonomi tempatan.
"Lima tapak plot komersial dirancang untuk dibangunkan secara kaedah kerjasama awam-swasta.
"Ia akan membuka peluang pelaburan serta mewujudkan pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat, sekali gus memperkasa ekonomi rakyat," katanya.