Proses Baik Pulih Kemudahan Lata Changkah Hampir Siap
Tandas, antara kemudahan yang dibaik pulih. |
Oleh: Fahmi Izzuddin
SETIU, 3 Mac - Lata Changkah bakal berwajah baharu apabila proses baik pulih kemudahan di pusat rekreasi itu sudah memasuki fasa terakhir dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Ustaz Zul Bhari A Rahman berkata, kerja-kerja menyelenggara kemudahan seperti bilik persalinan, tandas dan surau kini hampir selesai sebagaimana dirancang.
“Apabila siap nanti, ia memberi kemudahan kepada pengunjung yang hadir untuk menguruskan diri dengan lebih selesa dan boleh mendirikan solat di surau di sini.
“Kalau sebelum ini kita lihat keadaan tandas, surau tidak terurus dengan baik, ditambah dengan sampah dan kebersihan yang tidak terjaga. Jadi selepas ini kita harap semua pengunjung yang hadir sama-sama menjaga tempat ini sebaiknya, insya-Allah,” ujarnya.
Beliau berkata demikan ketika mengadakan lawatan dan meninjau kerja-kerja baik pulih yang dilakukan di sini bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Seladang, Azman Abdullah.
Zul Bhari (tengah). |
Julai tahun lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman meluluskan peruntukan segera sebanyak RM60 ribu untuk membaik pulih infrastruktur di dua tempat rekreasi, Lata Cangkah dan Lata Payung.
Kata Ariffin, ia sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyelesaikan beberapa isu kemudahan pusat pelancongan yang menjadi rungutan pengunjung.
“Untuk jangka pendek peruntukan segera bagi membaiki infrastruktur di Lata Changkah dan Lata Payung akan melibatkan semua jabatan di peringkat daerah untuk menjayakan pelaksanaan itu.
“Kami (kerajaan) juga akan bekerjasama dengan pejabat daerah dan majlis daerah serta jabatan pelancongan akan merangka strategi serta pelan jangka masa panjang dengan perancangan bajet melebihi RM1 juta,” katanya.
Lata Changkah menjadi salah satu lokasi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negeri terutamanya pada hujung minggu serta cuti umum kerana keindahan persekitarannya.