KEMAMAN, 19 Januari – Provokasi tidak boleh dijadikan alasan untuk bertindak kasar terhadap Orang Kurang Upaya (OKU), demikian ujar Exco Kerajaan Terengganu.
Datuk Razali Idris yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata, kejadian pada Jumaat lalu melibatkan seorang lelaki OKU mental dipukul oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai boleh dielakkan jika semua bersabar.
“OKU adalah golongan yang memerlukan sokongan dan pemahaman. Mereka tidak seharusnya dilayan dengan kekerasan, walaupun dalam situasi yang menegangkan,” katanya ketika program Tinjauan ADUN Kijal ke Tapak Hakisan Pantai Penunjuk, di sini hari ini.
Razali berkata tindakan kekerasan terhadap OKU hanya akan menyebabkan masalah lebih besar dan merosakkan keharmonian masyarakat.
“Kita yang berupaya perlu memberi contoh yang baik dengan menghormati hak dan martabat OKU.
"Saya mengajak semua pihak untuk lebih memahami cabaran yang dihadapi golongan ini dan memberikan sokongan yang diperlukan," ujarnya.