PRU14 : Mohamed Nafi Dakwaan Sabotaj Parti

Mohamed ketika menjelaskan isu mengenai dakwaan terhadap beliau kepada media. Foto oleh Tengku Syamim Tengku Ismail.

Calon Barisan Nasional (BN) Chukai, Dato’ Mohamed Awang Tera tampil untuk membersihkan namanya yang didakwa bertindak mensabotaj parti sehingga mengakibatkan BN mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu.

"Saya dikatakan bekerja untuk memenangkan calon Pas pada PRU13. Itu tuduhan pertama yang perlu saya bersihkan. Perkara ini bukan timbul pada musim pilihan raya ini, malah timbul sejak PRU13 akibat keputusan pilihan raya yang teruk dan kepimpinan BN ketika itu dipersoalkan.

“Kekalahan teruk majoriti 2,400 undi dikatakan sebab saya mensabotaj parti selepas tidak dipilih semula (calon BN) pada PRU13 ketika itu. Saya terkejut tidak terpilih dan memang sedikit kecewa tetapi tidaklah sehingga mensabotaj parti. Saya terus berada di markas saya, Cawangan Banggol. Masa yang sama saya juga menyerahkan semua jentera parti yang sudah saya bina semuanya kepada calon baharu ketika itu. Ramai yang menyaksikan saya hanya duduk dan melayan orang ramai di markas Cawangan Banggol itu,”katanya. 

Pegawai Penyelaras DUN Chukai itu menjelaskan, nama beliau sedikit terjejas dengan dakwaan itu, bagaimanpun beliau tetap yakin mampu menawan semula DUN berkenaan dan majoriti kemenangan lebih besar berbanding PRU11 dan PRU12 yang pernah ditandingi beliau ketika itu.

Menurut Mohamed lagi, dakwaan itu tidak wajar dibangkitkan sama sekali kerana semua pihak perlu akur bahawa pemilihan calon BN perlu mengambil kira pelbagai aspek dan proses tapisan yang ketat melibatkan banyak agensi tertentu sebelum nama calon dimuktamadkan pucuk pimpinan parti sendiri.

Malah, katanya jika dakwaan itu benar, beliau percaya pastinya akan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin UMNO dan tidak akan dicalonkan semula bagi kerusi DUN itu.

"Pihak terbabit tidak pula membuat laporan kepada lembaga disiplin parti supaya tindakan boleh diambil kepada saya tapi sebaliknya beliau hanya berani membuat tuduhan di dalam 'Public Speeches',"katanya lagi.

Selain itu juga, timbul juga dakwaan lain yang beliau menaiki kereta milik orang Pas ketika keluar mengundi, sedangkan kereta berkenaan milik sahabat beliau yang menjadi jentera ketika bertanding PRU11 dan PRU12.

Tambah beliau, anak pemilik kenderaan itu juga adalah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Banggol.

Dalam pada itu, beliau berkata selepas pengumuman calon BN di Kediaman Seri Iman pada Ahad lalu, beliau menerima respon yang sangat baik dari pengundi dan juga jentera parti di DUN Chukai sekali gus menolak dakwaan pencalonan beliau ditolak oleh akar umbi dan pengundi kawasan berkenaan.

"Ini pilihan raya paling getir dan pada saat begini kita sepatutnya tidak menambahkan masalah dengan isu-isu dalaman. Pada masa ini kita sepatutnya merapatkan saf bagi mengukuhkan parti untuk menentang parti lawan bagi memastikan BN menguasai semua DUN dan Parlimen Kemaman serta seluruh negeri.

"Saya juga tetap yakin masih diterima oleh sebahagian besar pengundi dan mereka juga kembali bersemangat untuk mengekalkan rekod tanpa kalah sepertimana saya bertanding di N31 Chukai pada PRU11 dan PRU12 sebelum ini.,"katanya.

Menurut beliau lagi, DUN Chukai mempunyai 30,300 pengundi merangkumi 14 pusat daerah mengundi (PDM)  yang melibatkan 29 cawangan.

Selain itu juga, semua jentera parti bersedia untuk bekerja dan dakwaan beberapa PDM akan ditutup adalah bohong dan provokasi semata-mata.

Beliau juga menyeru kepada semua pemimpin jentera parti bagi merapatkan saf dan bersama sama berganding bahu untuk memenangkan BN.


Tag: