PRU14 : Pembangkang Hanya Tabur Janji Kosong



Oleh : Ezzuan Ahmad

Pembangkang dilihat tidak membawa sebarang pembangunan dan hanya pandai menabur janji-janji kosong setiap kali tibanya pilihan raya.

Calon Barisan Nasional (BN) Paka, Tengku Hamzah Tengku Deraman berkata, ianya dapat dilihat di mana tiada pembangunan dilakukan di kawasan yang dimenangi mereka.

Katanya, banyak pembangunan dilakukan oleh BN di kawasan yang dikuasai pembangkang melalui Pejabat Penyelaras DUN yang diwujudkan oleh kerajaan negeri bagi memastikan nasib rakyat terbela.

"BN tidak memilih bulu untuk membantu dan mendengar denyut nadi rakyat. Tidak seperti pembangkang yang hanya memilih orang yang menyokong mereka sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucap utama Program Pemberian Dana di Dewan Sivik Paka, Dungun, hari ini.

Tengku Hamzah berkata, mengambil contoh seperti di Paka ini meskipun berada di bawah Pas, Kerajaan BN masih melaksaakan pembangunan dan membantu masyarakat yang memerlukan.

"Wakil rakyat sedia ada yang telah diberikan amanah tidak menjalankan amanah yang diberikan oleh pengundi untuk membela nasib mereka, sebaliknya kami (BN) tanpa segan silu turun membantu,"katanya.


Tambahnya, rakyat harus sedar tentang perkara ini dan tidak memberikan sokongan kepada pembangkang untuk membawa pembangunan di kawasan tersebut.

"Hanya BN sahaja yang mampu membawa kepada perubahan kepada rakyat dan ia telah dibuktikan sepanjang memegang tampuk pemerintahan negara,"katanya.

Ditanya bagaimanakah peluang untuk memenangi kerusi di DUN Paka, beliau memberitahu pengundi sudah mula sedar pembangunan yang dinikmati di Paka adalah dari BN dan yakin perubahan sokogan terhadap BN akan bertambah.


Tag: