PRU14 : Pendidikan Percuma Pembangkang Hanya Omong Kosong




Oleh : Ezzuan Ahmad

Pembangkang dilihat seperti hanya cakap kosong dan tidak boleh dipakai apabila menawarkan manifesto yang tidak realistik untuk membela nasib rakyat termasuk menawarkan pendidikan di universiti awam secara percuma.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, meskipun dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini ada menjanjikan menanggung pengajian secara percuma, namun perincian mengenainya tidak pula dijelaskan.

"Kerajaan sudah pun memang dah menawarkan (pendidikan) percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah tapi mengenakan sedikit bayaran di peringkat pendidikan tinggi walaupun kos sebenarnya lebih tinggi.

"Kalau pembangkang kata beri dulu kami memerintah namun tidak dijelaskan kepada rakyat  dari mana mereka akan  mendapat sumber kewangan untuk melaksanakannya , boleh dikatakan cuma cakap - cakap kosong yang tidak boleh dipakai," katanya.


Ahmad Shabery yang juga calon BN Parlimen Kemaman dan merangkap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah Kemaman 2018 di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman di Bukit Teruna, hari ini.

Turut hadir , calon BN DUN Kijal; Datuk Seri Ahmad Said; calon Kemasik, Ir Rosli Othman; calon Chukai, Dato' Mohamed Awang Tera dan calon DUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Beliau mengulas mengenai manifesto Pakatan Harapan pada PRU14 yang menawarkan dua janji berkaitan pendidikan tinggi iaitu pertama,  ingin menjadikan universiti awam percuma dalam tempoh lima tahun dan tidak meletakkan kewajipan kepada graduan untuk membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga mencapai angka gaji RM4,000.

Bagaimanapun Pakatan Harapan gagal memberikan justifikasi dan jumlah perbelanjaan sebenar bagi dua manifesto berkaitan pendidikan tinggi tersebut.


Mengulas lanjut, beliau berkata untuk memberi pendidikan percuma, perlu dilihat dari pelbagai aspek iaitu tahap kualiti pendidikan itu sendiri.

"Kualiti pendidikan yang baik ada kosnya. Pembangkang menawarkan pendidikan percuma, tapi adakah mereka pernah beritahu bagaimana untuk membiayainya?

"Negara-negara maju dan sebagainya menawarkan pendidikan percuma tetapi cukai yang dikenakan kepada rakyatnya adalah tinggi termasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang jauh lebih tinggi daripada apa yang dikenakan di sini.

" Jika pembangkang menawarkan pendidikan tinggi percuma dan pada masa sama mereka turut berjanji menghapuskan GST, mereka perlu menjelaskan bagaimana cara untuk mendapatkan sumber kewangan," katanya.





Tag: